Perak Hari Ini

MAIP, JAIP digesa teliti semula corak dan bentuk program dilaksanakan: Raja Nazrin

Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah bertitah, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIP) dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) perlu meneliti semula corak dan bentuk program yang dilaksanakan dalam usaha membangunkan ekonomi ummah secara lestari.

“Kegiatan membangunkan ekonomi secara lestari hendaklah diberi keutamaan. Ia menuntut kepada penelitian semula corak dan bentuk program yang dilaksanakan MAIP dan JAIP terutama kegiatan berkaitan ekonomi, dari segi peranan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Perak, zakat, Baitulmal dan pengurusan dana.

“Perhatian hendaklah ditekankan kepada hasil (output) dan impak setiap program yang dilaksanakan dan setiap perbelanjaan yang dikeluarkan.

“Pengauditan yang dilakukan hendaklah tidak sekadar melihat perimbangan angka di baucer dan resit tetapi juga turut menilai keberhasilan program dari segi kualiti dan impak untuk mencapai matlamat,” titah Baginda sempena Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak ke-177 di Ipoh, hari ini.

Titah Baginda lagi, dalam wawasan MAIP dan JAIP untuk memberi impak bermakna, kedua-dua organisasi itu hendaklah meletakkan Indeks Pencapaian Utama yang lebih dinamik.

Budaya pengurusan yang sedia ada perlu dirombak, budaya kerja ‘business as usual’ hendaklah diubah dalam setiap kegiatan yang dianjurkan.

“Setiap tahun Beta berangkat ke majlis-majlis yang dianjurkan MAIP dan JAIP, antaranya termasuk acara perayaan Maudilur Rasul dan Maal Hijrah. Banyak masa dan perbelanjaan yang digunakan. Setiap tahun program yang sama dan serupa berulang tanpa suntikan idea yang lebih innovatif yang boleh mencetuskan program yang dinamik.

“Program berbentuk ritual sedemikian hanya sekadar memenuhi takwim tahunan sangatlah luaran sifatnya, tidak mempunyai roh yang dapat menyentuh hati dan perasaan hadirin dan tentu tidak kesampaian untuk memenuhi matlamat. Malahan para peserta yang datang juga bersifat sekadar memenuhi keperluan jemputan, gagal dipuaskan oleh penganjur dengan santapan rohani,” titah Nazrin lagi.

Sehubungan itu, kedua-dua organisasi berkenaan titahnya, perlu melaksanakan pendekatan baru dengan memberi imej dan kandungan baru kepada program yang bakal dianjurkan dalam tahun 2012.

“Kandungan dan tempat program yang bakal dianjurkan, hendaklah dirancang lebih awal dan teliti dan setelah diputuskan di peringkat jawatankuasa, hendaklah terlebih dahulu dipersembahkan untuk mendapat ulasan, pandangan dan perkenan Beta terutama dari segi implikasi kewangan.

“Jika tidak dilakukan penambahbaikan acara, maka program yang dijalankan tidak mungkin mencapai objektif, bermakna setiap perbelanjaan wang negeri untuk membiayainya bolehlah dianggap perbelanjaan yang tidak memberikan pulangan malah membazirkan sumber,” tegas Baginda lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Nazrin bertitah, dalam hasrat menyediakan prasarana melaksanakan Rumusan Kongres Majlis Agama Islam, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak hendaklah mengambil langkah lebih agresif, melakukan rombakan dari segi struktur, pengolahan semula dari segi kaedah operasi dengan melakukan pengubahsuaian kepada struktur organisasi serta melakukan adaptasi budaya kerja sektor swasta dan sektor perdagangan.

Perbadanan itu tegas Baginda, perlu berani meneroka orbit yang lebih luas dan bersedia mengambil peluang dan menghadapi risiko untuk bergerak secara lebih dinamik.

Persidangan hari ini turut merakamkan sembah takziah di atas kemangkatan Raja Kecil Besar Perak, Raja Perempuan Muzwin Perak pada 6 Oktober lalu.

Terdahulu, Raja Nazrin berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada Pegawai Kewangan Negeri yang baru, Datuk Gazali Jalal yang dilantik menganggotai MAIP, menggantikan Datuk Jamaluddin Al-Amini yang bersara wajib dari perkhidmatan awam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");