Perak Hari Ini

Mendeklamasi sajak sempena sambutan Hari Kemerdekaan sebagai acara tahunan

KERAJAAN Negeri Perak menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bercadang untuk menjadikan program mendeklamasi sajak sempena sambutan Hari Kemerdekaan sebagai acara tahunan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, melalui program tersebut ianya mampu mambangkitkan kesedaran kepada generasi muda terhadap kemerdekaan negara.

“Melalui puisi, diharapkan anak-anak muda yang bakal memimpin negara ini dapat memahami erti sebenar kemerdekaan oleh perjuang negara terdahulu.

“Program seperti ini dapat membantu kerajaan menyampaikan mesej kepada rakyat mengenai kemerdekaan dan mendapat fakta sebenar sejarah kemerdekaan negara,” katanya ketika ditemui selepas program Malam Menghirup Puisi Merdeka di Dataran Condong, Teluk Intan.

Pada program yang dianjurkan bersama oleh JKKN Perak, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Perak dan Gerakan Belia 4B Perak itu, Zainol Fadzi turut mendeklamasikan puisi berjudul Suara Anak Merdeka.

Terdahuku, program dimulakan dengan persembahan tarian oleh Kumpulan Warisan Budaya Teluk Intan sebagai pembuka tirai malam yang dinanti-nantikan oleh generasi muda yang tidak berganjak sejak petang lagi.

Mendahuli pendeklamator, J. Jamal yang begitu bersemangat dengan puisinya bertajuk Bumi Bertuah Negaraku Merdeka.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan pula tampil dengan puisi 54 Tahun Merdeka dengan gaya tersendiri membangkitkan semangat melalui bait-bait puisi yang menyentuh hati hadirin.

“Medium puisi ini mampu menyuntik semangat patriotik kepada generasi muda dalam menghayati erti kemerdekaan negara ini.

“Saya mencadangkan supaya program seperti yang diadakan ini diperluaskan di setiap negeri dan daerah bagi menyedarkan generasi muda terhadap kemerdekaan negara,” katanya.

Dua bekas juara Sayembara Puisi Merdeka peringkat kebangsaan, Leftenan Kolonel Radzi Abdul Hamid muncul dengan puisi Gema Laungan Merdeka dan Sukri Abdullah dengan puisi berjudul Dirgaharu Tanah Airku.

Turut tidak ketinggalan menunjukkan bakat terpendam masing-masing, Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Pengerusi FELCRA, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rungkup, Datuk Sharani Mohamad. – Nooraini Mahamad.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");