Perak Hari Ini

Penutup jalan rosak undang mangsa

SERI ISKANDAR – Pengguna jalan raya jalan masuk Taman Tasek Putera di sini  melahirkan kebimbangan dengan keadaan penutup longkang di tengah jalan yang rosak teruk dan mampu mengancam keselamatan pengguna.

Keadaan penutup longkang itu yang terbelah dua selain besi curucuknya mendongak langit mampu mengundang bahaya kepada pengguna terutamanya kepada penunggang motosikal yang melaluinya pada waktu malam.

Seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Fitri Che Ismail Ghani, 25,  berkata, keadaan terbabit amat membimbangkan pengguna terutamanya mereka yang menunggang selain mencacatkan pemandangan.

“Penutup longkang terbabit sudah dikenal pasti rosak dalam jangka masa yang lama malah penutup besi yang rosak itu berada di tengah-tengah jalan hingga menyukarkan pengguna keluar masuk.

“Apa yang saya bimbangkan kerosakan itu terjadi di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai apatah lagi berada berdekatan gerai makanan dan runcit di sini,” katanya.

Beliau berkata, jika kerosakan pada jalan tidak diperbaiki, pihaknya khuatir ia bakal mencetuskan kemalangan yang tidak diingini dan memohon agar ia segera diperbaiki oleh jabatan yang berkaitan.

“Walaupun belum pernah lagi berlaku kemalangan yang meragut nyawa pengguna namun apa yang penting keselamatan kami di sini termasuk penduduk kampung terus terbela.

“Kita tidak mahu berlaku sebarang kejadian yang tidak dingini berlaku sebagai contoh, warga emas ataupun orang luar seperti saya yang mahu ke taman ini dan terlepas pandang sudah pasti akan masuk ke dalam lubang berkenaan,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya amat berharap pihak yang berkenaan dapat turun padang bagi memastikan masalah yang dihadapi oleh penduduk dapat diatasi malah berharap ia dapat diselesaikan segera sebelum berlaku insiden yang tidak diingini.

“Apa yang saya lihat tiada pihak tertentu meletakkan tanda amaran sebagai penanda kerosakan sebelum ini diperbaiki  dan yang penting kerosakan ini tidak harus dibiarkan berpanjangan.

“Oleh itu, saya harap pihak berwajib segera menyelesaikan permasalahan ini memandangkan ia melibatkan keselamatan pengguna dan perlu diambil tindakan segera oleh pihak berwajib,” katanya.

Kata Mohd Fitri, pihak yang bertanggungjawab mahupun kontraktor yang berkenaan mestilah mengambil inisiatif untuk memperbaiki kerosakan tersebut dengan kadar segera.

“Walaupun ianya nampak seperti satu kerosakan yang kecil namun padah kemalangan yang berpunca daripadanya adalah sangat besar.

“Kita pohon sekali lagi pada mereka yang berkaitan agar selesaikan masalah penduduk dengan segera supaya keselamatan pengguna di sini dapat diutamakan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");