Sukan Hari Ini
Like

Permotoran: SIC Bersedia Anjur Edisi Ke-21 Perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia

October 21, 2011
424 Views
0 Comments
2 minutes read
Permotoran: SIC Bersedia Anjur Edisi Ke-21 Perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia

Penganjur sukan permotoran negara, Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) kini sudah bersedia untuk menganjurkan edisi ke-21 perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Sepang bermula esok.

“Kami telah mendapat lampu hijau daripada FIM (Persekutuan Permotoran Antarabangsa) yang membuat pemeriksaan terhadap Litar Sepang hari ini.”

“Mereka berpuas hati dengan kerja menaik taraf yang telah dilakukan ke atas beberapa selekoh supaya bersesuaian dengan perlumbaan MotoGP,” kata ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali kepada Bernama.

Menurut beliau, pihak Dorna (pemilik perlumbaan MotoGP) juga telah menjalankan beberapa ujian terhadap sistem lampu pemula di Litar Sepang.

“Saya yakin semua kerja baik pulih di sekitar Litar Sepang telah siap untuk menerima kedatangan peminat-peminat perlumbaan motosikal di Litar Sepang,” katanya.

Mengenai sambutan peminat untuk perlumbaan kali ini, Ahmad Razlan berkata kehadiran empat pelumba Malaysia telah berjaya menarik perhatian peminat-peminat tempatan untuk datang menyaksikan perlumbaan di Litar Sepang.

“Jualan tiket amat memberangsangkan dan kita yakin dapat mengatasi jumlah kehadiran penonton untuk tiga hari perlumbaan yang dicapai tahun lepas. Kehadiran empat pelumba Malaysia adalah satu sejarah dalam sukan permotoran negara,” katanya.

Mengenai keadaan cuaca yang sukar dijangkakan sepanjang tiga hari perlumbaan, Ahmad Razlan berkata keadaan cuaca sememangnya memainkan peranan yang penting dalam menguji corak perlumbaan pelumba.

“Pelumba perlu bersedia untuk berlumba dalam apa jua keadaan cuaca. Bagi saya secara peribadi, saya sukakan perlumbaan di litar yang basah kerana ia akan begitu menguji kesediaan pasukan dalam memastikan pelumba mereka dapat memberikan pemanduan yang maksimum,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat

Leave a Reply