Perak Hari Ini

PR bentang bajet taktikal raih sokongan rakyat

Bajet alternatif yang diumumkan oleh Pakatan Rakyat semalam merupakan bajet taktikal untuk mendahului Bajet 2012 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata berdasarkan kepada pandangan ahli ekonomi, bajet yang dibentangkan Pakatan Rakyat itu lebih kepada bajet taktikal kerana ia mengambil masa sebelum Bajet 2012 dibentangkan oleh Perdana Menteri.

“Saya melihat kenyataan dan pembentangan bajet Pakatan Rakyat sebagai bajet taktikal kerana mereka tahu yang Perdana Menteri akan mengumumkan sesuatu yang penting buat rakyat.

“Jika Perdana Menteri mendahului mereka (Pakatan Rakyat), tentu bajet yang diwar-warkan itu tidak lagi relevan dan jika apa yang dibentangkan mereka itu diumumkan oleh Perdana Menteri, akhirnya mereka akan mendakwa Perdana Menteri yang sebenarnya mengikut bajet mereka.

“Bajet Pakatan Rakyat ini pembentangan bajet taktikal yang tidak serius kepada rakyat,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Beliau mengulas bajet Pakatan Rakyat yang mengesyorkan peruntukan subsidi sehingga RM22 bilion dan menyediakan RM5.9 bilion lagi bagi kenaikan gaji 1.3 juta kakitangan awam -atas alasan mahu membantu mengurangkan kos sara hidup.

Perikatan itu berkata ia akan mengurangkan perbelanjaan awam sebanyak RM14 bilion kepada RM220 bilion, sekali gus mengurangkan defisit kepada 4.4 peratus.

“Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4 peratus daripada KDNK.

“Walaupun jumlah ini melibatkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM14 bilion dari kadar yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional, kita yakin melalui pengurusan wang negara yang lebih berhemah, telus, bertanggungjawab dan berkesan, jumlah RM220 bilion ini akan memberi 20 peratus nilai tambah kepada rakyat berbanding apa yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional selama ini,” kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan belanjawan 2012 Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Zambry berkata apa yang dilaungkan oleh Anwar dalam bajet Pakatan Rakyat itu hanya bertujuan meraih sokongan rakyat.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, selama ini, kerajaan BN telah melakukan usaha terbaik kepada rakyat dan mengakui ada perkara tertentu yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Apabila membentuk kerajaan, barulah mereka (Pakatan Rakyat) sedar dan tahu tanggungjawab terhadap rakyat dan mereka juga langsung tidak membicarakan tentang bajet untuk kementerian,” katanya lagi.

Semalam, Tun Mahathir berkata ” Senang bila mahu belanja duit yang kita tidak ada.” ketika diminta mengulas pembentangan Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat.

Ia dikatakan sebagai belanjawan alternatif pakatan tersebut sebelum Belanjawan 2012 dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat ini di Dewan Rakyat.

“(Duit) yang kita tak kawal (memang) senang mahu belanja,” kata Dr Mahathir (gambar) kepada wartawan selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur Kelapan 2011, Selasa.

“Kita boleh buat apa pun (seperti) janji mahu bagi 20 peratus royalti minyak. Memang boleh janji sebab tak jadi kerajaan. Janjilah asalkan menang (pilihan raya),” katanya dipetik Bernama Online.

“Ini biasa malah Obama (Presiden AS Barack Obama) berjanji untuk menutup Guantanamo Bay (Pusat Tahanan) tetapi sampai sekarang tak tutup lagi. Tetapi beliau dipilihlah,” kata Dr Mahathir yang pernah menjadi Menteri Kewangan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");