Perak Hari Ini

Remaja pun ada kesedaran menjaga alam sekitar

Aspek penjagaan alam sekitar selain mengekalkan kehijaunan dan kebersihan merupakan amalan penting yang harus diterapkan oleh masyarakat pelbagai peringkat.

Namun, fenomena yang berlaku sekarang adalah berbeza dengan amalan berkenaan dimana rakyat tidak kira peringkat umur lebih cenderung membuang sampah di merata-rata tempat sama ada di darat atau pun di laut.

Bagaimanapun, bagi seorang remaja Salman Ali Shariati Abdul Halim, 14 tahun kesedaran untuk mengekalkan kebersihan alam semulajadi timbul setelah melihat begitu banyak sampah sarap di lautan ketika dia melakukan latihan renang.

Salman yang sebelum ini pernah digelar ‘The Iron Man’ pernah melakar sejarah dengan mendapat anugerah Malaysia Book of Records melalui acara renang jarak jauh.

Katanya antara halangan besar ketika melakukan misi renang merentasi lautan sebelum ini adalah disebabkan sampah sarap yang dibuang oleh golongan yang tidak bertanggung jawab.

“Kesedaran mula timbul ketika saya berenang… sampah banyak terdapat di laut… malah ketika saya melakukan latihan berbasikal atau larian… saya boleh lihat pemandu-pemandu tanpa rasa bersalah membuka tingkap kenderaan mereka lalu membuang sampah keluar  sesuka hati… bagi saya perkara ini perlu di cegah.

“Sebagai seorang Ikon Sukan di Perak, saya rasa bertanggungjawab untuk berkongsi pengalaman dalam mengubah konsep pemikiran masyarakat mengenai betapa pentingnya kesedaran penjagaan alam sekitar.

“Kita tidak boleh nak mengharapkan kerajaan semata-mata… kesedaran diri sendiri untuk rasa bertanggungjawab terhadap kebersihan alam semulajadi adalah lebih penting… jika tidak masalah longgokan sampah tidak akan selesai sampai bila-bila.

Tambah Salman lagi, bagi meningkatkan kesedaran terhadap sikap tidak bertanggungjawab golongan berkenaan, dia sendiri akan melakukan misi ‘1Malaysia Go Green 3R: Reduce-Reuse-Recycle’ pada 6 sehingga 9 Oktober ini.

Bagi acara ini, Salman akan melakukan acara sukan luar biasa iaitu Triathlon ekstrem dimana setiap tiga disiplin sukan iaitu berenang, berbasikal dan berlari dilaksanakan tiga kali ganda jarak ‘Iron Man’ biasa.

Jelasnya, matlamat acara sukan terbabit adalah untuk menyelamatkan bumi dimana konsep alam sekitar yang selamat dan bersih dari sampah sarap sama ada di darat atau di laut menjadi fokus utama.

Melalui program terbabit, Salman memulakan acara triathlon dengan berenang sejauh 12 km di perairan Sungai Dinding.

Kemudian remaja ini akan meneruskan misi berbasikal pada jarak 540 km atau tiga kali pusingan laluan Ipoh-Lumut.

Salman akan melengkapkan misi Triathlon terbabit dengan melakukan larian pada jarak 126 km di sekitar Bandar Ipoh sebelum menamatkannya di Padang Polo pada 9 Oktober.

Sementara itu, hasrat Salman disambut baik oleh kerajaan negeri kerana ia bersesuaian dengan usaha untuk menghijaukan Perak.

Exco Belia dan Sukan, Datuk Zainol Padzi Paharuddin memberitahu program ‘Go Green’ itu bukan sahaja dapat membantu kerajaan negeri dalam mengekalkan kehijauan alam semula jadi malah ia juga dapat meningkatkan kesedaran berkaitan amalan membuang sampah dikalangan rakyat.

“Kita sepatutnya bangga kerana Salman seorang remaja yang masih muda begitu prihatin dengan sikap masyarakat kita yang suka membuang sampah merata-rata.

“Jadi dengan adanya program seumpama ini saya harap rakyat di semua peringkat umur sedar akan kepentingan menjaga alam sekitar… anak muda pun tahu kesan-kesan buruk amalan buang sampah merata-rata ni… tak kan yang tua masih belum faham,” katanya

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");