Perak Hari Ini

Reunion BBSI menggamit kenangan 20 tahun lalu

Reunion ‘Budak Bas Stand Ipoh- Head Bangers ’ kali ini menggamit kenangan sebilangan yang hadir apabila kesemua mereka dapat bertemu kembali rakan-rakan lama.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, kali ini lebih 1,000 otai-otai BBSI tidak melepaskan peluang untuk sama-sama berkumpul sambil menceritakan pahit manis persahabatan mereka sekitar tahun 1975 sehingga 1986.

Penganjurnya, Amiruddin Mohd Daud memberitahu idea reunion itu tercetus apabila ada diantara rakan-rakan mereka yang meninggal dunia lantas initiatif untuk mengumpul kesemua geng BBSI dianggap sebagai penyambung ukhwah persahabatan sejak berpuluh-puluh tahun dahulu.

Jika mengimbau ketika zaman muda BBSI, ‘Bus Stand Ipoh’ yang kini lebih dikenali sebagai Stesyen Bas Medan Kidd dianggap sebagai tempat untuk mereka berkumpul sambil mengasah bakat masing-masing.

Amiruddin yang dahulunya digelar Gary, menyifatkan reunion kali ini lebih bermakna kerana dapat bertemu semula rakan-rakan ‘melepak’ bersama keluarga masing-masing.

“ Bila kita jumpa balik… kita ingat balik kenangan-kenangan kita ketika berlepak di Bus Stand dulu… zaman dulu tak ada shopping mall jadi Bus Stand adalah tempat untuk budak-budak dari seluruh Perak akan berkumpul.

“Kalau zaman dulu, kita dipanggil macam kutu la… tapi kita melepak bukan buat kerja kosong… kita ada menetapkan peraturan-peraturan macam kalau nak hisap rokok tak boleh pakai baju sekolah atau kalau ada buat benda-benda tak elok kita akan denda dan kalau ada yang hisap dadah kita akan bawa ke balai Polis.

Antara geng BBSI yang berjaya menjadi ikon kepada belia sekarang termasuklah, Pengarah Filem Mamat Khalid, Kumpulan May, Akil Hayy, Aris Ariwatan, Kumpulan Teja dan banyak lagi,

Mamat Khalid ketika ditemui memberitahu, reunion BBSI lebih kepada perjumpaan semula sahabat-sahabat lama pada zaman muda mereka.

Tambahnya, kebanyakkan rakan-rakannya itu merupakan inspirasi kepada setiap karya beliau terutama dalam filem Rock dimana kisah suka duka mereka diabadikan.

“Banyak kenangan yang kami kongsi… dahulu walaupun kami hanya melepak tapi kami sudah tahu dimana hala tuju kami satu masa nanti… kita letakkan target pada masa akan datang kita nak jadi contoh yang baik dan akhirnya kebanyakkan dari kami berjaya.

“Apa yang menarik pada zaman itu adalah… kami boleh mengenal seseorang itu dari mana berdasarkan seluar yang mereka pakai… sebab pada ketika itu jiwa rock menebal dan masing-masing nak pakai seluar kulit jadi kerusi bas yang menjadi mangsa… jadi dari situ kita tahu… kalau seluar warna merah dari mana… seluar kulit warna hijau dari mana… memang tidak dapat lupa semua itu.

Dalam pada itu, Akil Hayy yang turut hadir memberitahu reunion itu merupakan landasan ukhwah yang dimantapkan melalui pertemuan rakan-rakan lama yang sukar ditemui sejak bertahun lamanya.

“Ia adalah sesuatu yang nostalgic sebab kita ingat balik kisah-kisah 20 tahun lalu,” katanya

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");