Berita Hari Ini

Soi Lek kata Hukum PAS dengan tidak mengundi DAP

Menggunakan logik hujah musuh politik, bahawa BN perlu dihukum kerana UMNO, Presiden MCA Chua Soi Lek menyerang balas dengan laungan “sampailah masa kita menghukum PAS, dan dengan itu kita tidak mengundi dan menyokong DAP”.

“DAP akan terus mempakejkan diri mereka sebagai sebuah parti pelbagai kaum – cuba untuk menyembunyikan wajah sebenar mereka sebagai parti mono-etnik.  Saya percaya mereka akan meletakkan beberapa calon Melayu di negeri-negeri seperti Perak dan Selangor dengan harapan jika mereka berjaya membentuk kerajaan, calon Melayu daripada DAP ini boleh diketengahkan sebagai calon Menteri Besar.”

Chua (gambar kiri) meneruskan, “DAP, dalam kempen-kempen mereka menegaskan bahawa BN perlu dihukum kerana ia diketuai oleh UMNO.  Untuk melakukan itu mereka meletakkan calon Cina untuk menentang calon Cina yang lain.  Ini bermakna mereka meletakkan calon untuk menentang MCA dan Gerakan.”

Sekali lagi, Hukum Hudud dibangkitkan MCA sebagai senjata untuk menyerang Pakatan Rakyat.  DAP ditonjolkan sebagai boneka yang mengkhianati masyarakat bukan muslim kerana “bersekongkol “dengan PAS dan PKR untuk melaksanakan Hukum Hudud di Malaysia.

“Sampailah masa kita menghukum PAS, dan dengan itu kita tidak mengundi dan menyokong DAP,” kata-katanya ini disambut dengan tepukan daripada 1,807 (kadar kehadiran 76%) perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-58, di Wisma MCA hari ini.

Sistem dua perkauman, bukan dua parti

Chua Soi Lek juga mengulangi kritikannya terhadap DAP, bahawa parti yang mendakwa diri “parti pelbagai kaum” itu sepatutnya meletakkan calon bukan Melayu di kawasan Melayu dan buktikan bahawa mereka diterima oleh semua komuniti.

“Dengan meletakkan calon yang mewakili masyarakat Cina menentang calon dari kalangan masyarakat Cina juga, DAP secara tidak langsung cuba mencipta satu sistem politik yang mana bukan Cina akan membentuk Kerajaan dan masyarakat Cina berakhir sebagai pembangkang.”

“Ini akhirnya akan mewujudkan sistem dua kaum dan bukannya sistem dua parti sebagaimana yang mereka inginkan,” simpul Chua Soi Lek, tidak lupa mengambil contoh bagaimana DAP berjaya mengurangkan perwakilan masyarakat Cina tetapi mereka gagal menumbangkan Ketua Menteri dalam PRN Sarawak, April 2011

“Realitinya ialah, daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan, hanya 46 kerusi merupakan kawasan majoriti masyarakat Cina.  Jika masyarakat Cina berhasrat untuk melepaskan marah mereka terhadap kerajaan dengan mengundi menentang BN, paling banyak kerusi yang mereka boleh menang ialah 46 kerusi.”

Chua meneruskan, “Ini hanya membuktikan satu perkara iaitu mana-mana parti yang berasaskan masyarakat Cina jika ingin menang dan membentuk kerajan mahu tidak mahu perlu bekerjasama dengan mana-mana parti masyarakat Melayu.  Ini membawa kita kepada satu persoalan penting yang perlu dijawab iaitu siapakah yang bakal menjadi perdana menteri.”

“Sehingga ke hari ini, saya menanti jawapan daripada Pakatan Rakyat tetapi malangnya tidak ada jawapan,” ujar Chua, yang sebelum ini berkata kepada masyarakat Cina bahawa Presiden PAS Hadi Awang bakal menjadi PM seandainya Pakatan Rakyat memerintah di peringkat persekutuan.

Pendekatan Baru

Sebelum ini, Presiden MCA Chua Soi Lek menyarankan “Pendekatan Baru” untuk masa depan Malaysia.  Beliau menuju kepada Perdana Menteri Najib Razak, “YAB, kepimpinan baru MCA ingin melihat PENDEKATAN BARU ini mendukung sebuah kerajaan yang membina yang berupaya menyatu padukan semua kaum di negara kita. Kita perlu sentiasa meneruskan langkah ke arah jalan tengah yang dapat mendekati generasi muda.”

Chua Soi Lek mencadangkan “kerajaan membuka lebih ruang untuk mendengar suara rakyat yang kini jauh lebih lantang, aktif dengan kesedaran politik yang tinggi berbanding dahulu.  Sebagai pemimpin, kita mestilah sentiasa bersedia untuk mendengar.  Ahli politik tidak sepatutnya berpura-pura yang mereka mengetahui segala-galanya.”

Beliau meneruskan, “Malah transformasi politik perlu menjangkaui kepaduan politik, politik kecam-mengecam dan politik perkauman.  Kita perlu mengangkat darjat politik kita mengatasi semua ini dan membawa jalan keluar ke arah satu dimensi yang berlainan.  Kita harus membawa keluar politik melangkaui politik keagamaan dan perkauman yang sempit seperti yang diperjuangkan PAS dan DAP”

Ketika mengulas “pendekatan baru untuk media”, MCA berpendapat pihak media perlu diberi ruang untuk menentukan sendiri kawalan dan halatuju industri yang mereka terajui.  “Ini kerana, sudah terdapat undang-undang yang secukupnya yang selama ini mengawal selia tindak-tanduk media iaitu Akta Rahsia Rasmi dan juga Akta Hasutan.”

“Pada akhirnya, Kerajaan perlu melihat kemungkinan untuk memansuhkan terus Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan perlu menetapkan tempoh masa yang secukupnya untuk berbuat demikian.  Ini adalah satu langkah yang memerlukan iltizam dan keberanian yang tinggi,” sebelum beliau memuji bahawa Najib adalah orang yang berani untuk berbuat demikian.

Malah, ketika mengulas isu pendidikan, Chua Soi Lek berpendapat, “Untuk terus meliberalisasikan institusi pengajian tinggi kita, maka Seksyen 15 dan 16 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) perlulah dipinda sekali lagi bagi memberi ruang kebebasan kepada pelajar dan pensyarah untuk melibatkan diri dalam politik sebagai satu pengiktirafan kepada hak mereka untuk mengundi.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");