Perak Hari Ini

200 rumah uzur dibaikpulih bawah projek 1MDB DUN Belanja

Barisan Nasional (BN) adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin kerana terus menyalurkan bantuan kepada pelbagai peringkat rakyat di negeri ini.

Salah satu daripada bantuan yang disalurkan ialah projek membaiki rumah uzur melalui 1MDB yang memperuntukkan RM250,000 bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Hari ini, Hasnan Ahmad dari Kampung Selboh dalam DUN Belanja antara rakyat yang bertuah kerana terpilih menerima bantuan itu.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, beliau bersyukur kerana menerima bantuan bernilai RM1,100 bagi membaikpulih rumah pusaka yang didiami bersama keluarga sejak 17 tahun lalu.

“Sejak 10 tahun lalu, struktur utama rumah seperti tiang dan dinding mulai reput kerana sudah berusia lebih 60 tahun.

“Dengan pendapatan bekerja kampung yang tidak menentu dan anak-anak yang masih bersekolah, saya terpaksa melupakan dahulu hasrat untuk membaikpulih rumah ini.

“Namun, di atas keprihatinan Ketua Kampung dan bantuan yang disediakan oleh 1MDB, sebahagian daripada kerosakan itu dapat dibaiki hari ini,” katanya kepada Perak Today.

Pelancaran majlis gotong-royong membaiki rumah Hasnan disempurnakan oleh Adun Belanja, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan yang juga Ketua UMNO Bahagian Parit.

Dalam perkembangan berkaitan, Hasnan berkata, projek seumpama itu perlu diperluaskan lagi memandangkan masih banyak rumah penduduk di kawasan itu yang berada dalam keadaan daif dan uzur.

“Saya berharap lebih ramai penduduk menerima bantuan seperti ini yang membuktikan keprihatinan kerajaan untuk membantu rakyat yang memerlukan” tambahnya.

Sementara itu, Zaim berkata, pihaknya sudah menerima peruntukan RM125,000 bagi menjayakan projek baikpulih rumah uzur di kawasan itu.

“Bakinya akan diterima tidak lama lagi dan kita jangka dapat membaiki 200 rumah yang uzur sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Zaim turut menegaskan, bantuan yang disalurkan bernilai antara RM1,000 hingga RM3,000 bergantung kepada tahap kerosakan rumah penduduk.

“Ketua Kampung diberi amanah untuk mengenalpasti rumah penduduk yang memerlukan pembaikan segera dan kita juga menggalakkan semangat gotong-royong antara penduduk kampung bagi menjayakan projek ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");