Membawang Hari Ini

Chef Wan Mahu Chef Riz Tanggung Sendiri

“Padan muka dia, biar dia bertanggungjawab dengan apa yang telah dia lakukan,” kata Datuk Redzuawan Ismail (Datuk Chef Wan) ringkas apabila diminta mengulas berhubung isu pemalsuan pengalaman kerja anak lelakinya, Mohd Nadzri Redzuawan atau Chef Riz.

Ketika dihubungi portal murai.com.my sebentar tadi, Datuk Chef Wan melahirkan rasa terkilan dengan tindakan anak sulungnya itu dan berharap agar kejadian seumpama itu tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.

“Memang saya terkejut kerana saya langsung tidak tahu menahu tentang perkara ini. Tapi apa yang boleh saya nasihatkan kepada Nadzry supaya meminta maaf secara terbuka dan terus maju ke depan.

“Saya menganggap perkara ini amat memalukan. Bukan saja kepada saya sebagai seorang bapa, tetapi juga kepada dunia chef dan juga industri masakan negara.

“Tapi saya sedar, kegiatan memalsukan pengalaman kerja di dalam resume oleh kebanyakan chef bukanlah perkara baru kerana sudah banyak berlaku. Sudah beberapa kali juga saya jumpa, semata-mata mahu nampak hebat,” katanya.

Kontroversi ini terbongkar apabila pihak pengurusan restoran Itali terkemuka di New York, menafikan bahawa Chef Riz pernah bekerja dengan mereka.

Maklum balas itu diberikan setelah portal The Malaysian Insider menghubungi mereka berhubung profil kelayakannya yang disiarkan dalam laman web Astro Ria yang mendakwa beliau pernah bekerja sebagai ‘Chef de Cruisine’ dan ‘Sous Chef’ di dua restoran terkenal di Amerika Syarikat itu iaitu ‘Babbo’ dan ‘Le Bernardin”.

Meskipun begitu Chef Wan bersikap rasional kerana beranggapan dalam apa juga jenis pekerjaan, setiap manusia perlu menempuhi jalan berduri sebelum mengecapi kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.

Jelas Chef Wan, anaknya itu telahpun menjelaskan sebab sebenar mengapa dia memalsukan maklumat pengalaman kerjayanya itu kerana dia tertekan dengan kebolehan individu lain yang nyata lebih hebat darinya.

“Entahlah, kata Nadzri (nama panggilan) dia rasa ada sesetengah pihak yang memandang rendah dengan pengalaman dan kebolehannya dalam bidang masakan yang telah melayakannya dipilih sebagai juri MasterChef Malaysia.

“Tapi secara peribadi, saya meraskan Nadzri telah melalui pelbagai pengalaman dalam bidang dan sebagai bapa dan chef saya amat berbangga dengan pencapaiannya. Malah apa yang saya dengar daripada pihak Astro, mereka sangat suka dengan cara Nadzri bekerja.

“Cuma nasihat saya kepadanya, supaya jangan cepat putus asa.Lagipun apa yang terjadi bukanlah sesuatu yang perlu diperbesar-besarkan kerana Martha Stewart pun pernah dimasukan ke dalam ‘jail’ dan keluar semula dengan semangat baru,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan yang telah dikeluarkan pihak Astro, Chef berusia 29 tahun itu telah memohon maaf kepada penonton rancangan pencarian tukang masak terhandal, MasterChef Malaysia dan pihak Astro menerima alasan yang diberikannya dengan baik.

“Astro Ria memilih Chef Riz sebagai juri di dalam program realiti masakan ini bersandarkan pengalamannya sebagai pengusaha restoran, hos TV dan juga personalitinya,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, menerusi laporan yang dikeluarkan portal gua.com.my hari ini, Chef Riz telah melahirkan rasa kesal dengan tindakannya itu kerana telah memberi gambaran berlebihan dengan kelayakan yang dimilikinya.

“Saya harap selepas ini tidak ada lagi yang mempersoalkan kredibiliti saya. Sangat menyesal dan berharap penonton boleh memaafkan saya. Saya buat MasterChef kerana saya cintakan bidang masakan.

“Saya mahu berkongsi ilmu dan pengalaman yang saya ada dengan mereka yang minat memasak. Saya mahu memberi inspirasi kepada mereka.

“Insiden ini menjadi pengajaran supaya saya tidak mengulangi perkara yang sama di kemudian hari. Saya berterima kasih kepada pihak Astro kerana menerima penjelasan saya sekaligus memaafkan perbuatan saya itu,” katanya di dalam laporan berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");