Jenayah, Perak Hari Ini

Hutan Simpan Kekal Kledang Saiong dibangunkan sebagai kawasan eko-pelancongan dan eko-pendidikan

IPOH, 15 Nov — Hutan Simpan Kekal Kledang Saiong yang terletak berhampiran bandar raya Ipoh akan dibangunkan sebagai kawasan eko-pelancongan dan eko-pendidikan yang dapat menarik pelancong tempatan dan asing, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman.

Beliau berkata Tahun Melawat Perak 2012 akan dijadikan asas kepada program pembangunan kawasan berkenaan sebagai destinasi pelancongan kepada peminat alam sekitar dan kegiatan merentas hutan (hiking) serta mendaki bukit.

“Kawasan banjaran bukit berkenaan unik kerana kedudukannya yang sangat hampir dengan bandar serta mempunyai jalan keluar ke Kuala Kangsar dan Manong yang terletak bersebelahan dengannya.

Terdapat perbagai laluan yang ada di kawasan hutan ini dan ia akan dinaik taraf bagi kemudahan orang ramai…difahamkan penduduk sekitar Jelapang, Menglembu dan Taman Meru melakukan aktiviti riadah di sini sejak 20 tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas menyertati latihan Ekspedisi Media Perak ke Gunung Kinabalu di kawasan itu hari ini.

Hamidah berkata kedudukannya yang hampir dengan bandar dan kawasan penduduk menjadikannya tarikan kepada penduduk tempatan yang berminat dengan aktiviti merentas hutan dan mendaki gunung.

“Malah ada yang  mengunjungi tempat ini sejak pukul 6 pagi dan ada juga kumpulan yang memasuki hutan ini di waktu malam bagi menikmati keindahan flora dan faunanya,”katanya.

Beliau berkata pelbagai aktiviti eko-pelancongan dan eko-pendidikan akan dirancang di kawasan hutan seluasa lebih 2,000 hektar itu dan program pertama ialah pembangunan Taman Rimbva Kledang Saiong dekat Meru Raya di sini.

Projek itu telah dimulakan dengan belanja RM1 juta bagi membina pelbagai kemudahan asas dan laluan masuk berhampiran Lebuh Raya Utara-Selatan, katanya.

”Kita perlu merancang dengan baik dan menjadikan hutan itu sebagai tarikan pelancongan kepada penduduk tempatan dan luar negara untuk datang ke negeri Perak,”jelasnya.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri bercadang menjalankan kursus jurupandu pelancong sebagai langkah menggalakkan penduduk sekitar menjadikan pekerjaan ini sebagai sumber pendapatan.

Beliau berkata penduduk tempatan perlu bijak mengambil peluang dari hutan-hutan di negeri ini yang semakin mendapat tempat dari pelancong tempatan dan antarabangsa.

”Kita minta Tourism Perak menjalankan kursus jangka pendek kepada mereka dan akan diberikan lesen jurupandu bagi membolehkan mereka membawa pelancong memasuki dan meninjau kawasan hutan-hutan itu.

”Yang penting mereka perlu dilengkap maklumat san sebagainya bagi membolehkan mereka memberi penerangan yang baik kepada pelancong,”katanya.

Mengenai ekspedisi berkenaan, beliau berkata seramai 15 pengamal media mewakili pelbagai agensi seperti Bernama, RTM, TV3, TV Hijrah, Berita Harian, Perak Today dan Utusan Malaysia akan mendaki gunung tertinggi Asia Tenggara itu pada 27 Nov ini bagi menaikkan logo Tahun Melawat Perak 2012.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");