Program Basmi Kemiskinan
Like

Impian pembeli tidak kesampaian kerana projek rumah terbengkalai

November 8, 2011
700 Views
0 Comments
2 minutes read
Impian pembeli tidak kesampaian kerana projek rumah terbengkalai

Impian lebih 40 pembeli untuk memiliki dan mendiami rumah sendiri masih belum kesampaian apabila projek perumahan di Taman Sri Bemban, dekat Batu Gajah terus terbengkalai sejak tahun 2002 lagi.

Salah seorang pembeli, Ambra Singh A/L Sundara Singh, berkata beliau membeli rumah itu pada 1998 dan projek itu telah diisytiharkan sebagai projek terbengkalai empat tahun kemudian.

“Pada Jun 2010, saya bersama pembeli lain telah dipanggil untuk bermesyuarat mengenai pemulihan projek perumahan terbengkalai Taman Sri Bemban.

“Dalam mesyuarat tersebut, kami difahamkan projek tersebut akan dipulihkan seawal-awalnya pada tahun 2011.

“Menurut wakil syarikat pemaju, kerajaan sudah sedia memperuntukkan pemulihan projek perumahan itu tetapi sehingga ke hari ini ia masih terbengkalai.

“Apabila ditanya berkenaan projek perumahan tersebut, masing-masing lepas tangan,” katanya lagi.

Beliau yang juga anggota polis yang berkhidmat di kontijen Pahang, berkata pembeli berasa kesal kerana projek itu masih terbengkalai walaupun setiap bulan gaji dipotong sebagai bayaran kepada pihak bank.

“Saya tidak mempunyai rumah untuk diduduki dan sebagai pembeli, saya begitu bimbang memikirkan nasib keluarga kerana masalah ini belum selesai,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, pihak berwajib katanya, diminta mengambil tindakan sewajarnya untuk memulihkan projek perumahan yang terbengkalai sekian lama itu.

“Kami selaku pembeli sangat berharap sekiranya pihak Jabatan Perumahan Negara, Bahagian Pemulihan Projek Terbengkalai dapat membantu dan memulihkan projek perumahan Taman Sri Bemban dengan segera bagi membela nasib rakyat,” katanya.

Projek Taman Sri Bemban membabitkan pembinaan 89 unit rumah dan sebelum diisytiharkan sebagai projek terbengkalai, ia sudah 65 peratus siap.

Ia membabitkan 46 pembeli dan projek itu merupakan salah satu daripada 22 projek perumahan terbengkalai yang dikenalpasti oleh Jabatan Perumahan Negara di seluruh negara dalam perancangan awal pemulihan dengan mencari pemaju penyelamat.

Komen & Pendapat

Leave a Reply