Kolumnis, Perak Hari Ini

Isu LBGT Serlahkan Kesesatan SIS Dan Muslimat PAS

Tidak lama dahulu, terdapat desakan agar Sisters In Islam menghapuskan perkataan ‘Islam’ mereka memandangkan pergerakan tersebut bukannya memperjuangkan Islam, sebaliknya hanya mempergunakan Islam untuk menimbulkan kegelisahan, kekeliruan dan penyelewengan terutama sekali yang berkenaan dengan hukum-hukum syariah melibatkan wanita dan keluarga Islam. Bagaimanapun, desakan tersebut berlalu begitu sahaja dan selepas beberapa ketika, sama seperti isu-isu yang lain, Sister In Islam tidak lagi dimusuhi atau dibenci.

Sisters In Islam mendapat tempat yang istimewa di hati para pemimpin Pakatan Rakyat apabila menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu. Segala dosa dan kesalahan SIS yang sebelum BERSIH 2.0 mengundang kecaman daripada PAS, hilang begitu sahaja apabila pertubuhan tersebut menyokong BERSIH 2.0.

Kini SIS menyerlahkan lagi kejijikan yang terkandung pada pertubuhan tersebut. Atas nama kebebasan berkumpul, memberi maklumat dan kebebasan segala-galanya, SIS menyokong Festival LBGT atau Seksualiti Merdeka. Apabila PDRM mengharamkan Seksualiti Merdeka serta-merta, SIS mendahului kumpulan penyokong kebebasan berjimak songsang dengan mengecam PDRM.

SIS menerusi jurucakap mereka mengatakan, tindakan polis itu telah menapis dan menghalang aspek kebebasan bersuara, berhimpun dan berkongsi idea dengan bebas di Malaysia. Dan setiap apa yang keluar daripada SIS sebenarnya sudah menjadi sangat mudah untuk ditelah dan diteka. SIS akan mengeluarkan kenyataan-kenyataan kontroversi yang boleh membangkitkan perasaan ingin tahu, sekaligus menonjolkan Sisters In Islam dan perjuangannya untuk meliberalkan segala sistem di negara ini.

Tidak salah rasanya jikalau dikatakan, Sisters in Islam sebenarnya adalah cubaan terbaik kaum yang memusuhi agama Allah Taala dan umat agama tersebut dengan menggunakan label Islam. Kenyataan dan tindakan Sisters In Islam, terutamanya yang mempersoalkan tentang hukum-hakam qathi’e sudah cukup untuk menunjukkan sebahagian besar daripada mereka, bukannya jahil dalam berakidah Islam, tetapi mereka menggunakan masalah tersebut bagi membangkitkan kekeliruan dan menggugat keimanan golongan yang kurang berpengetahuan.

Bagaimanapun, Sisters In Islam tidak bersendirian dalam hal ini. SIS kini turut ‘disertai’ oleh Muslimah PAS yang mempersoalkan pengharaman Seksualiti Merdeka oleh pihak berkuasa. Dewan Muslimat PAS menerusi Ketua Penerangannya, Aiman Athirah Al-Jundi mempersoalkan sama ada tindakan kerajaan itu disebabkan kehadiran S.Ambiga Sreevanasan yang sepatutnya merasmikan program tersebut minggu hadapan atau sebaliknya.

Aiman Athirah berkata, program tersebut telah diadakan semenjak 2008 lagi. Atau dalam bahasa yang lebih tepat iaitu semenjak Pakatan Rakyat mulai menguasai pentadbiran beberapa negeri dan bersuara deras di Parlimen Malaysia selain cetusan demi cetusan kebebasan yang dituntut oleh ahli-ahli serta pemimpin Pakatan setiap masa. Bagaimanapun, Athirah sempat mendabik dada kononnya, polis hanya bertindak apabila rakyat bangkit membantah walaupun jelas program tersebut seolah-olah menghina kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. (BACA DI SINI)

Apa yang diungkapkan oleh Aiman Athirah sebenarnya cukup untuk menunjukkan bahawa Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia itu seorang yang cetek, mudah bangga diri dan kuat berbohong. Sehingga artikel ini ditulis, kebanyakan jentera penerangan Pakatan, terutama sekali dari PAS sangat takut dan cukup berwaspada untuk menzahirkan tentangan terhadap LBGT. Sebaliknya masing-masing mula mencari-cari jalan bagi menunjukkan yang mereka sedang ‘menarik rambut dari dalam tepung’.

Satu-satunya penentangan terawal yang dibuat adalah oleh Dewan Pemuda PAS menerusi ketuanya, Nasaruddin Hasan Tantawi. Itu pun selepas beberapa lama, iaitu selepasdibangkitkan oleh banyak pihak yang tidak menyokong Pakatan Rakyat. Hanya setelah keadaan menjadi panas dan pelbagai pihak mulai mengecam LBGT dan penganjurnya, maka barulah muncul Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Persepsi yang cuba dilakukan oleh Aiman Athirah samalah seperti persepsi yang cuba dibuat oleh Sisters In Islam. Aiman Athirah membangkitkan tentang tindakan pihak berkuasa semata-mata kerana ada hubungkait dengan Ambiga Sreevanasan, penganjur gerakan memurtadkan dan penghalalan murtad di Malaysia, yang menjadi ikon kepada PAS. Aiman Athirah mempersoalkan mengapa baru sekarang kerajaan bertindak, sedangkan sebelum ini tidak.

Barangkali Ketua Penerangan Wanita PAS itu sebenarnya sangat buta kayu dan kurang berpengetahuan. Semenjak 2008, gerakan menghalalkan LGBT telah dibuat oleh tokoh-tokoh dari Pakatan sendiri dan ianya dilakukan secara berselindung. Bagaimanapun, pada tahun ini, festival tersebut dibuat untuk menekan kerajaan pusat memandangkan musim pilihanraya sudah semakin hampir dan untuk menunjukkan kerajaan pusat sebenarnya tidak pernah memperdulikan martabat Islam di negara ini.

Apabila semakin ramai yang ‘alert’ dan berwaspada, ditambah pula menerusi laman web yang dibina khusus oleh Seksualiti Merdeka untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang aktiviti mereka, menunjukkan betapa garangnya mereka untuk menyerang dan merobekkan kredibiliti kerajaan sedia ada. Hanya kerana bantahan daripada pihak yang tidak sekepala dengan Pakatan mendahului rancangan Pakatan, khususnya PAS, menjadikan Aiman Athirah bagaikan diserang penyakit gila babi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");