Sukan Hari Ini

‘Jangan ganggu Apek’

Bagi memastikan skuad bola sepak Sukan SEA dapat beraksi di tahap terbaik dalam usaha mempertahankan kejuaraan, jurulatih negara, Ong Kim Swee menyeru semua pihak, termasuk media agar tidak menganggu isu peribadi yang membelenggu penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat.

Kim Swee menegaskan, laporan yang bersifat menyerang peribadi pemain muda Kelantan itu mampu membuatkan tumpuan pengaja gol tersebut terganggu, sekali gus sukar untuk memberi aksi terbaiknya.

Seandainya fokus pemain yang terkenal dengan jolokan Apek itu terjejas, ia juga mampu memberi kesan kepada pasukan keseluruhan pada kita Malaysia berdepan tugas getir dalam usaha mempertahankan pingat emas.

“Saya sangat berharap agar pemain itu tidak diganggu dengan laporan-laporan yang kurang baik berhubung peribadinya.

“Kita harus faham bahawa dia (Khairul Fahmi) seolah-oleh sedang berada di medan perang dan perjuangannya adalah untuk negara, jadi mengapa dia perlu diganggu,” kata Kim Swee ketika dihubungi Utusan Malaysia di Jakarta, semalam.

Kebimbangan Kwim Swee jelas berasas kerana Malaysia diletak dalam “kumpulan maut” di Indonesia dengan diundi bersama Thailand, Indonesia, Singapura dan Kemboja.

Pasukan negara akan memulakan cabaran dengan menentang Singapura dalam aksi sulung Kumpulan A di Stadium Bung Karno, Jakarta esok.

Dalam pada itu Kim Swee menegaskan, biarpun sering diuji dengan pelbagai laporan negatif, beliau tetap mempercayai Khairul Fahmi dan akan memberi tugas penjaga gol utamanya kepada pada pertemuan esok.

“Saya amat yakin dengannya dan tiada sebab mengapa saya hendak mempertikaikan atau meragui keupayaannya, dia sudah membuktikannya sebelum ini.

“Kita datang ke sini sebagai juara bertahan dan kita akan menghadapi setiap perlawanan dengan baik termasuk perlawanan pertama.

“Apa yang penting kini kita perlu kekalkan aksi konsisten dari awal saingan,” jelas Kim Swee.

Selepas menentang Singapura, Malaysia dijadual bertemu Thailand, Rabu ini, sebelum berdepan Kemboja dan Indonesia.

Sementara itu Kim Swee turut menegaskan, kecederaan dua tonggak utama, Mohd. Irfan Fazail dan K. Gurusamy tidak akan menganggu perancangan pasukan kerana beliau mempunyai pilihan lain yang mampu menampung kekosongan tersebut dengan baik.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");