Perak Hari Ini

Kerajaan Arab Saudi iktiraf Perdana Menteri, jemaah haji Malaysia: MB Perak

Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat penghormatan dan pengiktirafan tinggi daripada kerajaan Arab Saudi ketika rombongan negara berada di Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kerajaan Arab Saudi juga memberi maklumbalas positif bahawa jemaah haji dari Malaysia sebagai terbaik.

“Saya melihat Perdana Menteri begitu dihormati di sana sehinggakan dalam perbualan telefon dengan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Aziz Al Saud, Perdana Menteri dan Malaysia disebut bukan sahaja sebagai saudara sesama Islam tetapi juga sudah seperti keluarga dengan Baginda.

“Ini merupakan satu pengiktirafan yang besar kepada negara dan apabila mengetahui Perdana Menteri akan mengerjakan ibadah haji tahun ini, Malaysia dipilih menjadi wakil dari semua negara jemaah haji yang hadir dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom diberi penghormatan untuk menyampaikan khutbah di Maktab 100.

“Ia jelas menunjukkan pengiktirafan luar biasa bagi kami yang menyaksikan peristiwa itu,” katanya kepada pemberita selepas sambutan ringkas ketibaan beliau dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli dari Tanah Suci di kediaman rasmi Menteri Besar, petang tadi.

Beliau berkata, hubungan Malaysia dengan negara Islam lain juga terjalin baik apabila pemimpin mereka mengunjungi Perdana Menteri ketika rombongan berada di Arafah dan Mina.

“Sepanjang berada di Tanah Suci, Perdana Menteri melaksanakan ibadah haji dengan penuh kesyukuran dan sebagai tetamu Allah, saya lihat sendiri bagaimana beliau, isteri dan keluarganya benar-benar mendambakan diri mereka kepada Allah SWT,” katanya.

Mengulas layanan istimewa kerajaan Arab Saudi kepada rombongan haji negara yang diputarbelitkan parti pembangkang, Zambry berkata, layanan yang diberikan itu mungkin berbeza di peringkat negara.

“Untuk peringkat haji, kita dilayan seperti tetamu Allah yang lain tetapi di peringkat negara, kita tidak boleh memaksa kerajaan Arab Saudi untuk memberi layanan sama,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengakui sentiasa perkembangan semasa yang berlaku di Perak dan sudah tidak sabar-sabar untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin nombor satu negeri.

“Saya dan isteri bersyukur dan ingin berterima kasih kepada rakyat jelata  yang mendoakan kesejahteraan kami berdua sepanjang berada di Tanah Suci dan dizinkan Allah untuk menunaikan ibadah haji tahun ini,” katanya.

Terdahulu, ketibaan Menteri Besar Perak dan isteri,pada jam 6.30 petang disambut oleh beberapa wakil rakyat termasuklah Adun Pengkalan Bharu yang juga Ketua Penerangan Negeri, Datuk Hamdi Abu Bakar, Adun Alor Pongsu; Datuk Sham Mat Sahat, Adun Temengor; Datuk Hasbullah Osman, Adun Rungkup; Datuk Saarani Mohamad dan Adun Kenering; Datuk Termizi Idris.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");