Sukan Hari Ini
Like

Khairul Fahmi Ajak Rakan Sepasukan Kejutkan Thailand

November 9, 2011
297 Views
0 Comments
2 minutes read
Khairul Fahmi Ajak Rakan Sepasukan Kejutkan Thailand

Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat mengajak rakan sepasukan bangkit menggegarkan Thailand di Stadium Gelora Bung Karno di sini bagi mencari kemenangan pertama.

Meskipun Malaysia sekadar meraih satu mata ketika menentang Singapura semalam apabila seri tanpa jaringan pada perlawanan pembukaan bola sepak di temasya Sukan SEA ke-26, Khairul Fahmi, yang dikenali sebagai Apek di kalangan rakannya, yakin peluang masih terbuka buat skuad negara.

Beliau tidak rela melihat Malaysia menjadi pasukan pertama daripada Kumpulan A yang pulang awal, biarpun tugas getir menanti skuad kendalian Ong Kim Swee itu.

“Kita tahu Thailand banyak melahirkan pemain yang berkualiti dan turut berkelebihan dari segi taktikal permainannya. Bagaimanapun, itu bukanlah masalah buat kita, kerana kami telah bersedia.

“Malah perlawanan semalam diharap dapat diperbaiki mutunya bagi meraih tiga mata,” katanya kepada Bernama selepas sesi ramah mesra bersama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di hotel penginapan kontinjen skuad bola sepak negara malam ini.

Turut hadir Ketua Kontinjen Sukan SEA Jakarta Datuk Naim Mohamad, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong dan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad.

“Saya akui kita ada kurang 48 jam masa berehat berbanding Thailand, ini merupakan perlawanan pertama mereka, namun kita perlu optimis dan ambil positif beraksi awal (semalam) mampu memperbaiki rentak permainan,” kata pemain berusia 22 tahun itu.

Sementara itu, Kim Swee berkata beliau akan memperbaiki bahagian tengah skuad negara bagi mencari kemenangan pertama.

“Oleh sebab itulah saya mahu perbaiki kekurangan di bahagian tengah kerana saya percaya akan kemampuan Thailand, yang pastinya akan mencari kelemahan kita untuk formula menggempur gawang negara kita,” katanya.

Malaysia akan bertemu Thailand pukul 4 petang waktu tempatan Rabu.

Selepas Thailand, Malaysia akan bertemu Cambodia dan pasukan tuan rumah pada 14 Nov dan 17 Nov.

— BERNAMA

Komen & Pendapat

Leave a Reply