Perak Hari Ini

Latihan Bersama Kerajaan, Industri Mampu Hasilkan Pekerja Mahir

Kementerian Sumber Manusia mahu lebih banyak sektor industri menyertai program Sistem Latihan Dual Nasional bagi menghasilkan tenaga kerja mahir yang diperlukan negara, kata Timbalan Menteri berkenaan Datuk Maznah Mazlan.

Beliau berkata program kendalian Jabatan Pembangunan Kemahiran itu menggabungkan situasi pembelajaran di tempat kerja dan institusi latihan.

“Kita mengambil langkah proaktif dengan turun ke peringkat bawah menemui pengusaha industri untuk memperkenalkan sistem ini serta mencari kaedah, idea, mengenal pasti masalah dan keperluan industri.

“Sistem ini akan menyelesaikan masalah industri terutama bidang teknikal yang mempunyai keperluan tenaga mahir yang tinggi dan memerlukan penyelesaian segera,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis Perbincangan Makan Tengah Hari Pembangunan Sumber Manusia Mahir di sini Isnin.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Jawatankuasa Industri negeri Datuk Hamidah Osman.

Maznah berkata sejak diperkenalkan pada 2005, sebanyak 1,351 pengusaha Industri Kecil dan Sederhana, 21 syarikat berkaitan kerajaan serta 53 syarikat multinasional terlibat dengan program ini.

“Sepanjang tempoh itu, kita telah melatih seramai 26,094 pekerja dan berharap lebih ramai industri tampil untuk menyertai program ini di masa akan datang,” katanya.

Beliau juga berkata program itu perlu dipergiat kerana mampu melahirkan tenaga kerja berkualiti bagi menyokong sektor perindustrian negara ke arah negara berpendapatan tinggi.

“Ini kerana pembangunan tenaga kerja mahir negara akan memberi impak yang maksimum kepada syarikat dan pekerja, terutama dalam mencapai keperluan Program Transformasi Ekonomi,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");