Program Basmi Kemiskinan

Pemasangan paip bekal sumber air padam kebakaran di Pos Dipang

Pemasangan paip dari Kampung Sahom antara jalan penyelesaian yang mungkin boleh dipraktikkan bagi membekalkan sumber air untuk memadamkan api jika berlaku insiden kebakaran di Kampung Orang Asli Pos Dipang.

Adun Chenderiang, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Lembaga Air Perak (LAP) bagi tujuan pemasangan paip memandangkan kedudukan sumber air yang terletak kira-kira tiga kilometer (km) dari perkampungan terbabit.

“Saya telah mengadakan sesi dialog dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Kampar bagi mencari jalan untuk menyelesaikan masalah penduduk yang bimbang keselamatan nyawa dan harta benda mereka apabila berlaku kebakaran disebabkan oleh kedudukan sumber air yang terletak begitu jauh dari kampung itu.

“Sehubungan itu, saya akan memanjangkan perkara ini kepada LAP dan beberapa cara mungkin dapat membantu mengatasi masalah ini termasuklah memasang paip dari Kampung Sahom dan sistem graviti yang dijangka memakan kos yang agak tinggi.

“Kita perlu memikirkan cara yang sesuai dan tidak menunggu sehingga berlaku kebakaran. Jarak dan kedudukan rumah penduduk di sini begitu dekat selain struktur binaan daripada atap dan papan yang lebih mudah terbakar juga perlu diberi perhatian,” katanya kepada pemberita selepas program turun padang di Kampung Orang Asli Pos Dipang, petang tadi.

Katanya, kerajaan mahu mengambil langkah proaktif bagi mengatasi bebanan atau risiko yang mungkin berlaku di penempatan Orang Asli di kampung terbabit.

Mengulas program itu, Dr Mah yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar, berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan negeri untuk menjayakan kempen kesihatan membabitkan golongan dewasa dan kanak-kanak.

Golongan kanak-kanak tambahnya, diberi ubat cacing dan multivitamin yang dapat membantu dari segi tumbesaran mereka manakala orang dewasa pula berpeluang menjalani ujian pemeriksaan kesihatan.

“Program ini dijalankan secara berterusan di seluruh tempat termasuklah di perkampungan Orang Asli dengan kerjasama Jabatan Kesihatan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");