Berita Hari Ini
Like

Perdana Menteri Tiba Di Tanah Suci

November 1, 2011
61 Views
0 Comments
1 minute read
Perdana Menteri Tiba Di Tanah Suci

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di sini untuk menunaikan ibadah haji hujung minggu ini.

Pesawat yang membawa beliau serta rombongannya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad di sini kira-kira pukul 9 malam, Isnin (2 pagi hari Selasa waktu Malaysia).

Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Gabenor kota Madinah, Sulaiman Mohammad Al-Jeraisy dan Duta Besar Malaysia di Arab Saudi Prof Datuk Syed Omar Al-Saggaf.

Turut berada di lapangan terbang menyambut ketibaan beliau ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Abi Musa Asa’ari dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Datuk Paduka Ismee Ismail.

Perdana Menteri turut diiringi bondanya, Tun Rahah Mohamad Noah dan adiknya, Datuk Mohamed Nazim serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Najib dijadual menziarahi makam Rasulullah SAW di Masjid Nabawi sebelum berlepas ke Jeddah untuk memasuki kota Mekah bagi menunaikan umrah, esok.

Pada hari Rabu pula beliau akan mengunjungi ibu pejabat Tabung Haji di hotel Abraj Al-Janadiriah di Mekah, dan meluangkan masa untuk bertemu dengan jemaah haji Malaysia yang menginap di hotel itu.

Najib dan isteri akan berwukuf di Arafah pada hari Sabtu ini, bersama lebih tiga juta umat Islam yang lain dari seluruh dunia, yang menunaikan haji tahun ini.

— BERNAMA

Komen & Pendapat

Leave a Reply