Sukan Hari Ini

SUKAN SEA: Impian Nurul Asfahlina Berkecai, Raih Perak Untuk Taekwondo

Malaysia terlepas peluang untuk meraih pingat emas pertama dari acara taekwondo pada Sukan SEA ke-26 apabila Nurul Asfahlina Mohd Johari hanya meraih pingat perak dalam kategori wanita bawah 46kg.

Atlet berusia 22 tahun itu gagal menandingi asakan peserta Indonesia Fransisca Valentina sebelum akur dengan pungutan mata 2-8 pada pertarungan akhir di Pusat Sukan Taekwondo di Cibubur, kira-kira 50km dari sini.

Nyata hampa dengan pencapaian tersebut, Nurul Asfahlina mengakui gagal mengatasi tekanan selepas peserta Indonesia itu memperolehi tiga mata awal.

“Gangguan sorakan penonton tuan rumah saya tidak hiraukan cuma saya rasa gugup sikit kerana Fransisca tahu taktik dan strategi saya kerana kami pernah bertemu di Sukan Asia 2010 Guangzhou, China.

“Saya akui kesilapan strategi menyerang membuka ruang lawan membuat serangan balas,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan tersebut.

Pada Sukan Asia di Guangzhou, Nurul Asfahlina kalah 1-4 kepada Fransisca di peringkat suku akhir.

Nurul Asfahlina, yang merupakan penampilan kali keduanya dalam Sukan SEA selepas di Vientiane, Laos 2009, melayakkan diri ke peringkat akhir setelah mengalahkan peserta Myanmar, Sandar Win, di peringkat suku akhir dan atlet Filipina, Leigh Anne Nuguid pada separuh akhir.

Sementara itu, rakan sepasukannya Noor Hanako Oike, gadis Sabah kacukan Jepun dan James Tee Chow Seng, masing-masing terkandas di saingan pertama dalam acara wanita bawah 49kg dan lelaki bawah 54kg.

Perlawanan pada hari ini menyaksikan atlet Thailand mendominasi tiga daripada lima pingat emas yang ditawarkan manakala emas selebihnya disapu oleh tuan rumah.

Sebanyak 21 emas ditawarkan dalam acara taekwondo pada temasya kali ini dan daripada jumlah itu sebanyak lima lagi pingat emas ditawarkan dalam perlawanan terakhir esok.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");