Sukan Hari Ini

Sukan SEA: Malaysia Rangkul Tujuh Emas Pada Hari Ketiga Sukan Sea

Malaysia memulakan tuaian emas dengan menambah tujuh emas lagi hari ini, menjadikan keseluruhan sembilan pingat emas daripada Sukan SEA ke-26 di Indonesia yang masuk hari ketiga.

Acara karate menghadiahkan kilauan emas terbanyak iaitu empat butir dan masing-masing satu daripada acara lawan pedang, terjun dan olahraga.

Selepas tamat semua acara melibatkan atlet negara di sini dan Palembang, Malaysia mengumpul keseluruhan sembilan emas, 10 perak dan 15 gangsa untuk menduduki tangga kelima keseluruhan carta kutipan pingat.

Tuan rumah masih mendahului carta kutipan dengan 40 emas, 29 perak dan 21 gangsa, diikuti Thailand (20-16-24), Vietnam (17-18-19), Singapura (12-12-17).

Filipina berada satu tangga di bawah Malaysia dengan 5-9-13 dikuti Mynmar 0-5-9, Laos 0-3-7 dan Brunei Darussalam dengan satu perak dan satu gangsa.

Kemboja dan Timor Leste, masing-masing masih belum memperolehi sebarang pingat.

Skuad bola sepak bawah 23 tahun pimpinan Ong Kim Swee semakin menghampiri misi untuk mempertahankan pingat emas acara tersebut yang dimenangi di edisi Laos, dua tahun lepas, selepas membenam Kemboja 4-1.

Malaysia yang akan bertemu Indonesia pada perlawanan akhir peringkat Kumpulan A Khamis ini hanya memerlukan seri untuk melangkah ke separuh akhir.

Skuad karate sudah mencapai sasaran empat emas yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Emas tersebut disumbangkan oleh Shaharudin Jamaludin (kumite bawah 75 kg lelaki), R. Loganeshaa Rao (kumite bawah 55kg lelaki), G. Yamini (acara kumite bawah 61kg wanita) dan K. Teagarajan (kumite bawah 84kg lelaki).

Namun penyumbang pingat emas yang mencuri tumpuan ialah atlet lawan pedang Joshua Koh meraih dalam acara Epee individu dengan mengatasi Muhammad Haerullah dari Indonesia dengan mata 12-6.

Kejayaan Joshua ini mengakhiri kemarau emas selama 22 tahun dari sukan tersebut selepas kali terakhir mendapat emas dari temasya di Kuala Lumpur pada 1989.

Di gelanggang badminton di Istora Senayan, Jakarta, skuad wanita negara berpuas hati dengan berkongsi gangsa dengan Singapura selepas masing-masing terkandas di saingan separuh akhir.

Tuan rumah Indonesia menundukan Malaysia 3-1 sementara Thailand membenam Singapura 3-0.

Di Palembang, atlet jalan kaki Lo Choon Sieng merangkul emas dalam acara 20km jalan kaki lelaki sekali gus menebus kekecewaannya akibat dibatalkan penyertaan pada edisi lalu di Laos, dua tahun lepas. Lo mencatatkan masa 1 jam 32.34 minit.

Pada aksi di Pusat Akuatik Jakabaring, gandingan penerjun negara Leong Mun Yee dan Ng Yan Yee meraih pingat emas acara 3 meter papan anjal seirama.

Gandingan negara itu itu memperolehi 296.10 mata, diikuti pemenang pingat perak, Natalie Dinda dan Dewi Setyaningsih dari Indonesia dengan mengumpul 250.2o mata.

Gandingan Filipina Sheila Mae perez dan Ceseil Domensio merangkul pingat gangsa dengan 243.12 mata.

Esok, sebanyak 54 pingat emas menjadi rebutan.

Acara olahraga menawarkan pingat emas terbanyak iaitu 10 diikuti akuatik sembilan, vovinam (7), taekwondo (6), gusti (5), kasut roda (4), menembak (3), dua masing-masing dalam acara lawan pedang, gimnastik, karate dan satu masing-masing dalam acara berbasikal dan ping pong.

Malaysia bagaimanapun tidak mengambil bahagian dalam acara vovinam (seni mempertahankan diri Vietnam) dan gusti.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");