Sukan Hari Ini

SUKAN SEA: Sukan Sea Indonesia: Pemburuan Emas Bermula Esok

Kesemua negara yang menyertai Sukan SEA ke-26 di Indonesia akan memulakan pemburuan pingat emas pertama temasya melalui acara kenu yang menawarkan lima emas, esok.

Acara tersebut akan diadakan di Danau Cipule, Jawa Barat, kira-kira 90 kilometer dari ibu kota ini.

Walaupun tidak diberikan harapan untuk meraih emas, namun skuad berkenu Malaysia yang terdiri daripada 10 pendayung termasuk lima wanita akan memulakan pencarian pingat pertama negara dari acara tersebut.

Kesemua 10 pendayung itu ke temasya ini di bawah kategori B di mana segala perbelanjaan ditanggung sendiri oleh persatuan namun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan membayar kembali jika atlet tersebut mendapat sekurang-kurangnya pingat perak.

Atlet kategori A ialah bagi yang layak secara merit dan semua perbelanjaan ditanggung oleh MOM.

Kali terakhir skuad kenu menyumbangkan pingat kepada kontingen negara dengan meraih tiga gangsa pada edisi tahun 1997, yang kebetulan diadakan di ibu negara Indonesia ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong sebelum ini membayangkan kesukaran skuad kenu untuk menyumbang pingat berdasarkan pengalaman dan kehebatan pendayung tuan rumah, Indonesia, Singapura dan Thailand.

MSN sendiri menjangka, pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia akan diraih pada Sabtu ini melalui acara karate.

Harapan tersebut disandarkan kepada atlet karate wanita negara, Jamalliah Jamaludin dari acara kumite lebih 68kg.

Namun timbalan ketua kontinjen Malaysia ke Jakarta, T.Kumar berkata skuad kenu tetap berpeluang menyumbangkan pingat tanpa mengira warnanya.

“Skuad kenu sebahagian daripada anggota kontinjen negara dan sebarang pingat daripada mereka merupakan bonus kepada Malaysia,” katanya.

Kumar, yang juga penolong setiausaha kehormat MOM berkata pada mesyuarat ketua-ketua kontinjen hari ini, mereka menyampaikan salam takziah kepada keluarga pegawai MSN, Allahyarham Harun Osman yang meninggal dunia akibat serangan jantung, di Palembang, petang semalam.

Beliau meninggal dunia ketika menyambut ketibaan atlet di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud Badarudin II.

Esok, acara pembukaan rasmi edisi ke-26 Sukan SEA Indonesia akan berlangsung di Kompleks Sukan Jakabaring di Palembang, Sumatera Selatan.

Temasya dwitahunan kali ini menawarkan keseluruhan 542 pingat emas melalui 22 sukan yang dipertandingkan di Jakarta dan 21 di Palembang.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");