Isu Panas

Tony Pua Tidak Bertanggungjawab – Nong Chik

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pada Isnin menyifatkan sebagai tidak bertanggungjawab kenyataan Setiausaha Penerangan DAP Tony Pua untuk mengurangkan bilangan penjawat awam jika pakatan pembangkang memerintah negara.

Beliau berkata Pua (gambar) perlu membuat kajian dan sumbangan penjawat awam kepada masyarakat, ekonomi dan negara.

“Dia tidak boleh bandingkan jumlah penjawat awam di Malaysia dengan negara-negara lain kerana kedudukan ekonomi adalah berbeza. Ia juga bergantung kepada keperluan sesebuah negara dalam menentukan jumlah penjawat awam,” katanya.

Raja Nong Chik, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Korban Perdana Takaful Ikhlas Sdn Bhd di sini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman.

Kenyataan Pua yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini menyebut bahawa DAP berhasrat mengurangkan bilangan penjawat awam sekiranya pembangkang memerintah kerajaan pusat.

Sementara itu, Syed Moheeb berkata Takaful Ikhlas menyumbang 10 ekor lembu dan 10 ekor kambing bernilai RM25,000 kepada Masjid Al-Ikhlasiah untuk majlis korban tersebut.Selain Kuala Lumpur, Takaful Ikhlas turut mengadakan majlis korban di Kota Baharu, Johor Baharu, Sungai Petani, Kuching, Melaka, Kota Kinabalu, Kuantan, Ipoh dan Kuala Terengganu.

Pada majlis itu, Takaful Ikhlas turut menyerahkan sumbangan zakat kepada anak yatim, orang miskin, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU) dari kawasan Lembah Pantai, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Pertubuhan Kebajikan Baitul Makmur.

-BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");