Perak Hari Ini

UMNO Parit janji tanggung kos rawatan Iman Taufik di ISC

Sayu menatap wajah Iman Taufik Azman, seorang bayi lelaki yang berkeadaan tali usus dan hati berada di luar badan sejak dilahirkan kira-kira 38 hari lalu di Hospital Manjung.

Anak kelima pasangan Azman Abdullah, 32 dan Norhayama Ramli, 29, itu memerlukan penjagaan rapi daripada kedua-dua ibu-bapanya bagi menghalang sebarang jangkitan kuman.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Azman yang bekerja sebagai pemandu di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan tiba-tiba hilang penglihatan kira-kira dua minggu lalu dan terpaksa mengambil cuti sakit sehingga 28 November ini.

Walaupun penglihatannya bertambah pulih, hatinya cukup bimbang memikirkan masa depan Iman Taufik  yang perlu menjalani pembedahan ketika berusia tiga atau empat tahun.

“Saya sekeluarga menerima ketentuan takdir ini dengan redha dan setakat ini, Iman Taufik berada dalam keadaan sihat sama seperti bayi normal yang lain.

“Pada usia kandungan 19 minggu, saya dimaklumkan bahawa bayi yang dikandung isteri mengalami kecacatan dan selepas itu, kes ini dirujuk kepada Hospital Manjung dan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Adun Belanja, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan di Kampung Lambor Kanan, pagi ini.

Zaim yang juga Ketua UMNO Bahagian Parit berkata, pihaknya turut bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga itu dan meminta pasangan Azman dan Norhayama bersabar serta menerima ketentuan Ilahi dengan redha.

Bagi meringankan beban keluarga itu, UMNO Parit tegasnya, mensyorkan bayi itu itu dirujuk kepada Pusat Pakar Ipoh (ISC) dengan segala kos rawatan ditanggung bersama oleh DUN Belanja dan DUN Bota.

“Kita bersimpati dengan nasib yang menimpa bayi kecil ini dan saya dimaklumkan pembedahan hanya boleh dijalankan ketika Iman Taufik berusia tiga tahun.

“Sementara menunggu tempoh pembedahan, saya mengsyorkan kes ini dirujuk kepada pakar kanak-kanak di ISC agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi menjamin kesihatan si bayi.

“Segala kos yang berkaitan rawatan di ISC akan ditanggung oleh UMNO Bahagian Parit melalui Ahli Parlimen dan wakil rakyat dari DUN Belanja dan Bota,” katanya lagi.

Mengulas bantuan yang diumumkan Zaim itu, Azman berkata, beliau dan isteri amat terharu kerana UMNO Parit begitu prihatin dengan masalah yang dihadapi keluarganya.

“Kami akan membawa Iman Taufik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam tempoh dua minggu lagi untuk rawatan susulan di sana.

“Hari ini, UMNO Parit pula menawarkan bantuan menanggung kos rawatan bayi kami di ISC dan sudah pasti berita ini dapat menggembirakan hati saya dan isteri,” tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");