Perak Hari Ini
Like

3,000 umat Islam sertai HIMPUN di Perak

December 17, 2011
93 Views
1 Comments
6 minutes read
3,000 umat Islam sertai HIMPUN di Perak

Selepas Stadium Shah Alam, Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah (HIMPUN) hari ini menjelajah pula ke negeri Perak yang menyaksikan lebih 3,000 umat Islam menghadiri majlis itu yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Daerah Kuala Kangsar.

Pengerusi HIMPUN, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata majlis itu merupakan satu kejayaan yang cukup membanggakan kerana sambutan yang diterima daripada umat Islam tempatan begitu menggalakkan.

“Sekitar 3,000 umat Islam dari pelbagai lapisan umur hadir dan mengikuti majlis kita hari ini dan ia membuktikan HIMPUN semakin mendapat sambutan ramai dan selepas ini, siri jelajah ke seluruh negara akan diteruskan lagi.

“Melalui siri jelajah HIMPUN ini, kita ingin menyampaikan mesej kepada umat Islam terhadap usaha-usaha yang dijalankan untuk memurtadkan akidah umat Islam.

“Pendedahan fakta terdapat 40 permohonan murtad yang direkodkan di Perak misalnya membuktikan bahawa gejala dan perkembangan ini adalah benar, sekaligus menunjukkan kepada umat Islam bahawa mesej yang dibawa melalui HIMPUN ini bukanlah untuk mencipta isu atau menakut-nakutkan orang ramai tetapi ia benar-benar berlaku,” katanya kepada pemberita di Kuala Kangsar, hari ini.

Bukan sahaja di Perak, permohonan keluar dari agama Islam juga katanya, dilaporkan berlaku di Johor manakala 51 orang Islam di Selangor telah menjalani upacara baptis tetapi mereka akhirnya tampil untuk mendapatkan kaunseling daripada pihak berwajib.

Tambah Mohd Azmi, melalui siri jelajah, segala maklumat di setiap negeri akan dikumpulkan dan tindakan susulan akan diambil petugas dan penggerak HIMPUN di peringkat negeri.

Petugas HIMPUN negeri katanya, akan memantau dan mendapatkan maklumat dan kes terkini berkaitan gejala murtad, seterusnya meminta pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, HIMPUN juga katanya, turut menyanjung tinggi Majlis Raja-Raja Melayu yang menyatakan secara jelas kedudukan Islam di negara ini serta mengambil berat terhadap isu memurtadkan umat Islam.

Tegas Mohd Azmi, ia telah memberi semangat dan sokongan jitu kepada penggerak HIMPUN untuk terus menyampaikan mesej penting ini di seluruh negara.

“Selepas Perak, HIMPUN akan menjelajah pula ke Seremban, Negeri Sembilan pada 7 Januari depan dan majlis dijangka berlangsng di stadium tertutup,” katanya lagi.

Terdahulu, Mohd Azmi yang juga Pengerusi Teras Pengupayaan Malaysia (TERAS) dalam ucapannya, berkata apabila membicarakan soal akidah, tiada istilah tawar-menawar dalam perkara itu bagi umat Islam.

Menggunakan istilah harga mati, beliau berkata, umat Islam perlu melupakan perbezaan fahaman politik dan kedudukan mereka  sebaliknya bersatu sebagai suara majoriti untuk mempertahankan akidah dan agama Islam tanpa sebarang kompromi.

Pada majlis itu juga, sepuluh deklrasi HIMPUN turut dibacakan oleh Mohd Azmi iaitu:

1: Menyeru agar semua pihak menghormati dan mendokong peranan Raja-Raja Melayu untuk melaksanakan amanah sebagai ketua dan payung kepada pentadbiran Islam di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri.

2: Kerajaan yang memerintah baik di peringkat pusat mahupun negeri mestilah memastikan bahawa sensitiviti yang tertinggi di dalam Islam dan perlembagaan sebagai pedoman yang tertinggi di dalam negara ini dihormati.  Sebarang bentuk pelanggaran termasuk menghina  dan mencabar kedudukan Islam hendaklah dihukum berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

3: Menuntut supaya kerajaan dalam usaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri hendaklah memastikan supaya UNDANG-UNDANG PENCEGAHAN yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam di dalam perlembagaan dapat dimasukkan sebagai kandungan utama.

4: Menuntut supaya KERAJAAN mengambil langkah segera menggubal undang-undang khusus untuk mencegah dan membendung gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

5: Menuntut agar sistem pendidikan negara disemak semula untuk memastikan tidak ada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan aqidah. Kami menggesa pihak KEMENTERIAN PELAJARAN DAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada Aqidah Tauhid dan penerapan aqidah yang berkesan kepada pelajar-pelajar.

6: Meminta kerajaan supaya mengadakan program-program penerangan yang menyeluruh dan berkesan di setiap saluran supaya masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara kita dapat memahami Islam dan kedudukannya di dalam negara untuk menghilangkan prasangka buruk dan kekeliruan terhadap Islam.

7: Menyeru kepada seluruh pertubuhan politik dan bukan politik supaya meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi dan utama melebihi kepentingan yang lain serta mengambil sikap yang serius terhadap sebarang usaha untuk mengganggu-gugat kesucian Islam.

8: Menyeru semua institusi dalam masyarakat terutamanya IBUBAPA mengambil tanggungjawab yang tegas di dalam mendidik anak-anak dengan kefahaman Islam yang syumul agar dapat membentengi anak dan waris terdekat daripada terjebak di dalam aktiviti pemesongan aqidah.

9: Menggesa kerajaan supaya memantau dan mengawal aktiviti pihak media samada media cetak, media elektronik dan media baru. Sebarang bentuk penyiaran yang menyimpang dan menyentuh sensitiviti umat Islam dan keharmonian bernegara perlulah diambil tindakan yang tegas mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

10: Menyeru seluruh umat Islam yang hadir dalam perhimpunan  ini mahupun yang tidak dapat hadir,  melupakan segala perbezaan fahaman politik dan lain-lain hambatan untuk bersama-sama BERSATU menyongsong tugas berat mempertahan dan menyelamatkan akidah umat daripada sebarang bentuk pencerobohan.

Komen & Pendapat

One Comment

  1. Alhamdulillah.
    Tahniah kepada pihak penganjur !

    Himpun2, selamatkan akidah !

Leave a Reply