Perak Hari Ini

700 penumpang keretapi terkandas gara-gara panggilan bom palsu

Gara-gara panggilan telefon palsu yang mendakwa ada bom di landasan keretapi, semua perkhidmatan keretapi antara stesen Tapah Road dan Tanjung Malim terpaksa diberhentikan bermula dari awal pagi ini.

Menurut Pegawai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Tapah Road, Fauzi Othman, perkhidmatan yang tergendala akan beroperasi semula pada jam 2 petang ini membabitkan Tren Keretapi Elektrik (ETS) dari Ipoh ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Roslan Bek, berkata skuad bom pasukan polis telah menyiasat satu bonggolan yang mencurigakan di bawah ketulan batu di KM259.26 arah selatan.

Penemuan itu rupa-rupanya adalah tikar yang telah digulung.

“Pencarian dan siasatan dihentikan pada jam 12.46 tengah hari dan tiada sebarang bom ditemui.

“Si pemanggil tidak akan dilepaskan begitu sahaja kerana kita mempunyai nombor telefonnya.

“Polis akan menjejaki lelaki ini dan mengambil langkah sewajarnya terhadapnya,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Tapah Road.

Kira-kira 700 penumpang terkandas di Tapah Road selepas semua perkhidmatan keretapi antara stesen itu dengan Tanjung Malim dihentikan pada awal pagi ini.

Ia susulan panggilan mencurigakan yang diterima pihak polis kira-kira jam 1.45 pagi yang mendakwa ada bom berada di bawah salah satu jambatan sepanjang landasan antara Bidor dan Tanjung Malim.

Dua pasukan pencari bom dikerahkan menyiasat di laluan sepanjang 76 km itu, masing-masing bermula dari stesen Tapah Road dan Tanjung Malim.

Sementara itu, KTMB menyediakan perkhidmatan bas untuk membawa penumpang yang terkandas ke Kuala Lumpur.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");