Perak Hari Ini

Ahli Umno yang tidak tercalon diminta jangan sabotaj parti: DS Zambry

Umno Perak yakin bahawa ahli parti itu dapat menerima keputusan dengan baik sekiranya ada diantara mereka yang diminta untuk mengundur diri dan sekaligus memberi peluang kepada muka-muka baru dalam pilihanraya akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir memberitahu perkara itu diharap tidak akan menjadi kejutan kepada golongan yang tidak tersenarai.

Malah katanya, sebagai ahli Umno, mereka seharusnya menyokong apa jua keputusan kepimpinan tertinggi parti dan sekaligus tidak menimbulkan sebarang masalah kepada pentadbiran negeri.

“Kita tahu anggota Umno di semua peringkat mempunyai sikap keterbukaan dimana mereka sudah bersedia dari segi mental untuk menerima keputusan ini.

“Apa yang paling penting adalah kemenangan parti itu perlu menjadi keutamaan dan ia mengatasi kepentingan diri.

“Kita tahu dan percaya bahawa anggota Umno yang tidak tercalon akan tidak membuat huru hara sama ada sabotaj atau memulau parti…malah mereka akan terus setia dengan pucuk pimpinan parti,” katanya.

Tambah Zambry lagi, perubahan nama calon sudah tentu akan berlaku dimana ia merupakan antara usaha parti dalam transformasi politik.

Jelas beliau lagi, adalah menjadi kepentingan untuk Umno melakukan transformasi dalam aspek penyenaraian calon untuk pilihanraya akan datang.

“Cuba kita lihat dalam tempoh dua tahun ini, apa yang kita tak pernah buat…pelbagai perancangan pembangunan untuk rakyat telah kita laksanakan… ini termasuk pertemuan dengan rakyat serta program-program untuk menyelesaikan masalah mereka.

“Jadi ini merupakan proses transformasi yang kita lakukan dan ia akan berterusan sehingga pilihanraya nanti… jadi akan ada muka baru dan ia diharap dapat mengurangkan masalah yang wujud sebelum ini,” katanya.

Katanya lagi, sejak mengambil alih pemerintahan Perak, beliau sedaya upaya untuk mengurangkan bahang politik di negeri itu dengan mengurangkan permainan politik yang keterlaluan.

“Saya tidak mahu terjebak dengan permainan politik sehingga menyebabkan rakyat menjadi agenda kedua dan menderita,” katanya.

Justeru katanya, kerajaan BN sudah tentu akan memberikan sepenuh tumpuan kepada pembangunan dalam usaha untuk memastikan rakyat Perak hidup sejahtera.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");