Membawang Hari Ini
Like

Amanda Imani Mengaku Dia Bukan Perampas

December 20, 2011
136 Views
0 Comments
4 minutes read
Amanda Imani Mengaku Dia Bukan Perampas

Pulang saja dari China semalam, penyanyi bertubuh seksi Amanda Imani telah melayangkan kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada portal murai.com.my untuk bertanyakan kiriman email yang dijanjikan buatnya.

Namun ketika dihubungi sebaik saja menerima SMS darinya itu, Amanda Imani meminta maaf dan mengakui agak sukar untuknya berkomunikasi apatah lagi laman sosial seperti Facebook dan Twitter sama sekali diharamkan oleh kerajaan di sana.

“Saya berada diChina selama seminggu bagi memenuhi undangan Federation International Musicians untuk memeriahkan rakaman TV A Beautiful Place sempena sambutan tahun baru 2012 di hadapan lebih 10,000 penonton di sana.

“Cukup meriah. Malah merupakan pengalaman cukup berharga buat saya kerana berpeluang bertukar-tukar pendapat dengan beberapa lagi penyanyi dari Asia seperti dari Thailand, India, Cambodia, Sri Langka, Hong Kong dan Indonesia,” katanya ceria.

Walaupun bias suaranya masih lagi terawang-awangan mengenangkan suasana dingin di China, namun itu tidak bermakna dia dapat melupakan tragedi melukakan hati sehari sebelum dia bersama ibunya berangkat ke sana.

Perkongsian jujur Amanda Imani yang didakwa menjadi mangsa seorang penyanyi playboy kelahiran Singapura telah menjadi tajuk muka depan sebuah akhbar tabloid pada hari dia perlu berangkat ke China.

“Memang agak malu juga apabila melihat wajah saya terpampang di muka hadapan akhbar berkenaan kerana ketika itu saya sudah berada di lapangan terbang, apatah lagi dikaitkan dengan isu seperti itu.

“Apa yang boleh saya buat ialah hanya menutup telefon saya untuk mengelakan daripada membalas SMS atau dihubungi oleh sesiapa kerana saya perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persembahan saya di China, bukannya bercerita hal peribadi saya,” kata penyanyi muda itu.

Amanda Imani sebelum ini telah dikaitkan dengan cinta segi dengan seorang penyanyi berwajah cun iaitu anggota sebuah kumpulan dari Singapura yang sebenarnya sudah me bertunang.

Rahsia itu mula terbongkar apabila tunang jejaka berkenaan telah menghubungi Amanda Imani sendiri melalui Facebook miliknya dan memberi tahu bahawa mereka akan bertunang tidak lama lagi.

Perkhabaran itu sekali gus, telah meluluhkan hati penyanyi Selamilah Cinta itu, kerana tidak pernah dimaklumkan perkara berkenaan oleh jejaka berkenaan sepanjang mereka berkawan.

Sementara itu Amanda Imani berkata dia amat kesal, apabila kenyataannya dalam akhbar berkenaan, telah menyebabkan beberapa pihak menganggap dirinya sebagai perampas tunangan orang, pada hal dalam hal ini dia menjadi mangsa keadaan.

Walau bagaimanapun dia bersyukur, pemergiannya ke China bukan saja memberi pengalaman baru dalam bidang nyanyian, malahan juga sebagai satu cara melupakan segala kesedihan hati yang dianggapnya amat pedih untuk ditelan.

“Kalau sebulan dua tak mengapa, tapi hubungan kami sudah masuk enam bulan. Banyak yang sudah kami lalui bersama. Malah dia sendiri sudah bertemu mama saya dan kalau kami ke Singapura, saya dan mama pasti akan bertemu dengannya.

“Saya sudah memberi penjelasan kepada wanita berkenaan dan menyerahkan segala bukti bahawa lelaki itu yang memberikan janji palsu kepada saya. Tapi tunangnya itu tetap mahu tidak percaya dan menganggap saya cuba merampas tunangnya.

“Dan apabila saya tanya sendiri kepada penyanyi berkenaan akan kesahihan perkara itu, dia seakan bersikap acuh tak acuh dan mengakui bahawa sudah bertunang.

“Ini adalah pengalaman perit pertama buat saya disakiti seperti ini. Tapi biarlah awal jangan terlalu lewat saya mengetahui kebenarannya, kerana setidak-tidaknya perkara ini dapat mendewasakan saya untuk jadi lebih matang bila menjalinkan hubungan,” katanya.

Jelas Amanda Imani, dia sudah memutuskan hubungan dengan penyanyi berkenaan, baik menerusi talian telefon mahupun apa juga laman social sehari sebelum dia berangkap ke China dan sehingga kini dia tidak mahu ada apa juga kaitan dengan penyanyi cun berkenaan.

Namun, Amanda Imani mengharapka agar dia masih mendapat kepercayaan daripada peminat yang telah banyak menyokongnya dan tidak ketinggalan juga peminat baru di Singapura yang mengenalinya sejak mereka berdua bersama.

Komen & Pendapat

Leave a Reply