Isu Panas
Like

Anwar diminta tidak heret rakyat

December 30, 2011
44 Views
0 Comments
2 minutes read
Anwar diminta tidak heret rakyat

KUALA LUMPUR 29 Dis. – Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan supaya menghormati sistem perundangan negara dan tidak ‘mengheret’ rakyat untuk terlibat dalam kes-kes berkaitan peribadi beliau.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara berkaitan perundangan dan kehakiman tidak seharusnya menjadi bahan politik atau polemik.

”Biarlah mahkamah yang menentukan keputusan. Kita tak harus bawa rakyat untuk terlibat dalam kes-kes mahkamah. Ahli-ahli politik yang menjadi ahli Parlimen, sama ada anggota Dewan Rakyat atau Dewan Negara adalah pembuat dasar dari segi perundangan.

”Jadi undang-undang itu harus dihormati sebelum kita meminta orang lain menghormati undang-undang. Saya tidak fikir undang-undang itu harus dibawa ke tepi jalan atau demokrasi dijadikan demonstrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Bersama Pelanggan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Dataran Coliseum, Jalan Tuanku Abdul Rahmah, di sini hari ini.

Ahmad Zahid sebelum itu mengulas rancangan Anwar untuk menggerakkan pengikutnya bagi menjayakan Kempen Bebaskan Anwar 901 di ibu negara pada 9 Januari depan.

Jelas beliau, mengheret rakyat dan berdemonstrasi untuk kepentingan peribadi seperti yang dilakukan Anwar tidak bersesuaian dengan suasana politik di negara ini.

”Kalau rakyat jadi hakim, ia seharusnya ketika pilihan raya umum nanti dan bukan semasa sesuatu keputusan mahkamah itu dilakukan. Kalau diheret semasa keputusan mahkamah, ia seperti mahu membawa rakyat menyanggah apa yang telah diputuskan atau akan diputuskan mahkamah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) dan Yadim akan bekerjasama dalam memperkasa dakwah Islamiah serta penyatuan umat Islam di negara ini.

Jelas Ahmad Zahid, beberapa program telah dirancang bersama terutama gerakan menyatukan umat Islam yang kini ‘dipetak-petakkan’ mengikut perbezaan ideologi politik.

”Kita juga merancang untuk menyerahkan 100,000 naskhah al-Quran untuk penduduk Islam di Kemboja yang telah mendapat persetujuan kerajaan negara tersebut.

”Kor Kagat dan Yadim dengan kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia turut memperoleh dana sebanyak AS$1 juta (RM3.16 juta) sumbangan badan korporat bagi menjalankan pinjaman mikro kredit bagi membolehkan penduduk Islam di sana menjalankan perusahaan kecil-kecilan,” tambahnya.

– UTUSAN MALAYSIA

Komen & Pendapat

Leave a Reply