Kolumnis

DAP Guna MELAYU RASIS Untuk Terus Hidup

Cakaplah apa sahaja, buktikan apa sahaja tentang kelakuan hodoh Nga Kor Ming dan DAP serta Pakatan Rakyat di Perak, segala-galanya akan berakhir sebagai SALAH UMNO, UMNO RASIS, UMNO GUNA PERKAUMAN UNTUK KEKAL BERKUASA dan seangkatan dengannya.

Dalam isu terbaru membabitkan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, perkara yang sama juga berulang. Walaupun Nga Kor Ming telah terbukti mengungkapkan perkataan MELAYU METALIK, HARAMJADAH (ANAK HARAM) dan DARUL KARTUN, para penyokong Pakatan terus menuding jari ke arah UMNO dan Barisan Nasional walaupun hakikatnya yang mencipta semua ungkapan itu adalah Nga Kor Ming sendiri.

DAP dan RASIS serta chaunivinisme sememangnya tidak dapat dilarikan. Ia sudah menjadi sebati dan menyatu. Bagaimanapun, dengan menggunakan modal kononnya DAP terbuka untuk semua parti, maka yang dijadikan sebagai lelucon adalah UMNO walaupun UMNO berada bersama-sama ‘parti perkauman’ lain dalam Barisan Nasional. Berbanding DAP yang konon-kononnya terbuka, tetapi jawatan-jawatan utama semuanya diisi oleh ‘sejenis’ kaum semata-mata, Barisan Nasional menampilkan percampuran kaum yang lebih asli dan tulen.

Paling menarik ialah apabila perjuangan UMNO untuk memartabatkan Melayu dan Islam di dalam sebuah negara yang perlembagaannya memang memberikan kedudukan istimewa kepada Melayu-Bumiputera dan Islam sebagai RASIS. Sedangkan DAP yang terang-terang mengamalkan RASIS menerusi proses pembersihan etnik di Pulau Pinang, mematikan sama sekali kegiatan-kegiatan ekonomi Melayu-Bumiputera seperti yang dilakukan di Selangor dan Pulau Pinang, mengecilkan kuasa mengundi menerusi pemindahan penempatan dan pembukaan kawasan hartanah mahal di tengah-tengah kawasan Melayu-Bumiputera dan sebagainya, tidak pula dikatakan sebagai RASIS. Malah itu dianggap sebagai keterbukaan dan kesamarataan.

Sesuatu yang harus dilihat secara ‘otak terbuka’ ialah bagaimana Melayu dan Bumiputera di negara ini memberikan ruang serta peluang yang sangat banyak tanpa sebarang ganggugan dan menyusahkan bagi golongan bukan Bumiputera yang ada di negara ini. Pada ketika negara-negara yang kononnya juara hak asasi manusia seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah lain mengancam kumpulan minoriti dan pendatang, Malaysia tidak pula mengamalkan perbuatan berkenaan.

Golongan minoriti seperti para pemimpin utama DAP dibiarkan terlalu bebas sehingga mereka berasa mereka adalah anak emas serta tidak boleh disentuh dengan undang-undang Malaysia. Hakikat itu boleh dilihat menerusi gelagat Nga Kor Ming sendiri yang langsung tidak ada pantang larang serta bebas memainkan apa-apa isu, termasuklah isu agama Islam yang dia tidak sepatutnya sentuh.

Menyalahkan PAS dan tok-tok lebai totok kurang berilmu yang mudah terbuai dengan sedikit pujian kepada Islam di hadapan mereka, mungkin merupakan kaedah termudah. Peluang yang disajikan oleh kelompok berkenaan kepada para pemimpin pelahap seperti Nga Kor Ming, juga boleh dipersalahkan.

Namun menyatakan kesalahan itu adalah tanggungjawab PAS sepenuhnya juga tidak wajar kerana ia merupakan kesalahan semulajadi orang Melayu yang terlalu banyak masanya mudah berpuas hati serta mudah terbuai dengan sedikit pujian serta rasuah kata-kata.

Ketakutan orang Melayu, khususnya para pemimpin UMNO dan PAS tentang RASIS itu sebenarnya yang menyebabkan Nga Kor Ming dan pemimpin-pemimpin DAP semakin keterlaluan. Takutnya orang Melayu apabila dilabelkan sebagai ASSOBIYAH atau RASIS mendorong pihak lain seperti Nga Kor Ming mempergunakan istilah itu untuk mereka sendiri bersikap RASIS dan menabur kebencian melampau terhadap Melayu-Bumiputera dan terutama sekali Islam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");