Perak Hari Ini
Like

Diragut depan rumah

December 24, 2011
88 Views
0 Comments
2 minutes read
Diragut depan rumah

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila wartawan kanan sebuah akhbar berbahasa Inggeris cedera di leher dan kaki selepas diragut dalam satu kejadian samun di Taman Bersatu, di sini, semalam.

Sebelum itu pada Isnin lalu, cermin bahagian tempat duduk penumpang kereta jenis Nissan Sylphy milik mangsa dipecahkan sehingga menyebabkan beliau mengalami kerugian sebanyak RM200.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari semalam, Sylvia Looi Lee, 36, kerugian kira-kira RM2,500 selepas rantai emas termasuk loket yang dipakainya diragut salah seorang daripada dua lelaki yang menaiki motosikal.

Menceritakan kejadian itu, Sylvia berkata, dia yang berada di perkarangan rumah melihat dua lelaki yang memakai topi keledar dan berkaca mata hitam berlegar-legar di kawasan perumahan tersebut.

“Saya mengesyaki seperti ada sesuatu yang tidak kena memandangkan kedua-dua lelaki terbabit seperti sudah melalui kawasan perumahan saya beberapa kali.

“Sangkaan saya tepat apabila secara tiba-tiba pembonceng motosikal terbabit melompat dan mengacukan sebilah parang ke leher saya serta merampas telefon Blackberry yang pada ketika itu masih di tangan saya,” katanya.

Tidak cukup dengan tindakan itu, Sylvia berkata, lelaki tersebut turut mengarahkannya untuk masuk ke dalam rumah namun dia bertindak nekad lari ke jalan raya serta menjerit meminta pertolongan.

“Apabila menyedari jiran di sekitar rumah mula keluar selepas mendengar jeritan saya, lelaki tersebut mula bertindak agresif.

“Saya cuba melawan, tetapi dia meragut rantai saya dan menolak saya hingga terjatuh. Sebaik meragut rantai saya, dia terus berlari ke arah rakannya dan terus memecut motosikal yang dinaiki,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit menaiki motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam.

Sylvia yang masih terkejut bagaimanapun bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius dalam kejadian itu dan dia dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ahmad Termizi Abdul Haq ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kes tersebut.

Beliau percaya kedua-dua suspek terbabit melakukan jenayah yang sama di beberapa lokasi berhampiran.

“Kita percaya kemungkinan motosikal yang digunakan suspek terbabit adalah kenderaan curi serta dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

-Sinar Harian-

Komen & Pendapat

Leave a Reply