Membawang Hari Ini
Like

Fizo teraniaya!

December 14, 2011
79 Views
0 Comments
3 minutes read
Fizo teraniaya!

“SAYA mendapat panggilan telefon dari sebuah bank tahun lepas yang menyatakan saya adalah penjamin untuk sebuah syarikat pencetakan yang membuat pinjaman sebanyak RM8 juta dan wang sebanyak RM2.5 juta sudah lulus dan dikeluarkan.

Namun saya tidak pernah menandatangani apa-apa dokumen sebagai penjamin,” jelas Fizo Omar dalam satu sidang media, semalam.
Menurut Fizo, atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, dia mengakui pernah menyertai syarikat pencetakan yang beroperasi di Damansara itu pada awal 2008, namun dia mengambil keputusan untuk meninggalkan syarikat tersebut pada tahun yang sama kerana mulai aktif dalam bidang seni.
Namun sepanjang penglibatannya dalam syarikat itu, dia tidak mengetahui apa-apa perancangan mengenai pinjaman sebanyak RM8 juta itu apatah lagi menandatangani dokumen sebagai penjamin.
Fizo juga mengakui berasa tertekan dan kadangkala mengganggu emosinya semasa di lokasi kerana asyik memikirkan tentang perkara tersebut.
“Bila-bila masa sahaja, saya boleh dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak bank. Lebih membuatkan saya tertekan, saya sendiri tidak pernah mendapat apa-apa manfaat daripada syarikat terbabit walaupun elaun sebagai pengarah syarikat.
“Justeru bila nama saya terlibat, ia sangat mengganggu emosi saya kerana saya menanggung hutang pada pinjaman yang tidak pernah saya buat,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini dia belum membuat laporan polis kerana tidak mempunyai apa-apa dokumen yang dapat membantunya menyelesaikan kes terbabit.
Sehubungan itu, Fizo mengharapkan bantuan daripada Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam) untuk membantunya menyelesaikan perkara terbabit termasuk mendapat dokumen daripada pihak bank berkaitan pinjaman itu.
Sukaguam sedia membantu
Sementara itu, bagi Pengerusi Sukaguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, kes yang membabitkan Fizo ini bukan pertama kali berlaku, namun ia pertama kali melibatkan golongan selebriti.
Menurut Khairul, pihak Sukaguam bersedia untuk membantu Fizo memandangkan anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu kemungkinan teraniaya kerana namanya mungkin digunakan atau dia pernah menandatangani apa-apa dokumen, namun tidak mengetahui isi kandungan dokumen tersebut.
“Apa yang membuatkan kami hairan, bagaimana pinjaman itu boleh diluluskan sedangkan Fizo tidak pernah menerima apa-apa panggilan atau penjelasan atau prosedur biasa yang dilalui oleh seorang penjamin sebelum menandatangani dokumen sebagai penjamin.
“Ini kerana, mengikut undang-undang, apabila seseorang itu membuat persetujuan menjadi penjamin, secara tidak langsung, dia juga dikira berhutang dengan bank. Dalam kes ini, tentulah Fizo dalam kategori teraniaya kerana seingatnya, dia tidak pernah menandatangani apa-apa dokumen berkaitan pinjaman itu,” katanya.
Justeru beliau berkata, pihak Sukaguam akan berhubung dengan pihak bank untuk mendapatkan dokumen berkaitan pinjaman itu dan akan memberi perkembangan kes ini dalam tempoh dua minggu lagi.
“Saya juga suka untuk mengingatkan orang ramai di luar sana untuk berhati-hati sebelum menandatangani apa-apa dokumen. Saya berharap kes ini akan dapat diselesaikan segera kerana ia juga melibatkan kredibiliti bank terbabit dalam memberikan pinjaman kepada si peminjam,” katanya.
– SINAR HARIAN
Komen & Pendapat

Leave a Reply