Perak Aman Jaya
Like

Golongan muda terus didekati

December 24, 2011
88 Views
0 Comments
2 minutes read
Golongan muda terus didekati

Golongan muda di negeri Perak akan terus didekati melalui penganjuran pelbagai aktiviti sukan dan kesenian yang dilihat mampu mencungkil bakat terpendam mereka dalam kedua-dua bidang itu, demikian kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Katanya, salah satu teras gagasan Perak Aman Jaya yang diperkenalkan kerajaan negeri ialah pengupayaan golongan muda tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

“Setiap anak dilahirkan dengan bakat dan kelebihan tersendiri dan ibu bapa tidak seharusnya terlalu mementingkan pencapaian akademik semata-mata dalam membuat perbandingan terhadap pencapaian anak mereka.

“Bagi mengembangkan bakat seni anak tempatan, kerajaan negeri di bawah Institut Darul Ridzuan (IDR) telah memperkenalkan konsep yang mengetengahkan bakat golongan muda-mudi dalam bidang kesenian.

“Melalui cara ini, kita dapat mencungkil bakat baru dalam bidang kesenian termasuklah ukiran dan muzik yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya berucap pada Karnival Jom Orang Muda (JOM) Amanjaya peringkat daerah Kerian di SMK ABu Bakar Al Baqir, pagi ini.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan Ketua Eksekutif IDR, Aminuddin Hashim.

Dalam perkembangan berkaitan, penganjuran karnival seumpama itu katanya, dapat menarik minat golongan muda dan ia akan diteruskan lagi pada masa depan.

Ini tambah Zambry, dapat dilihat berdasarkan kepada sambutan baik yang diberikan oleh golongan muda-mudi di daerah itu yang tidak mahu ketinggalan menyertai pelbagai aktiviti seni dan sukan yang diatur oleh pihak penganjur.

Sementara itu, Aminuddin berkata, pihaknya menerima sambutan di luar dugaan apabila sekitar 100 pasukan telah menghantar permohonan untuk menyertai pertandingan futsal.

Bagaimanapun katanya, hanya 70 pasukan di bawah katogeri lelaki dibenarkan bertanding manakala 10 pasukan yang diwakili pemain wanita turut menyertai pertandingan futsal.

Karnival yang bermula sewal jam 7.30 pagi itu dimeriahkan lagi dengan pameran jabatan kerajaan dan swasta, persembahan rakyat dan acara pentas menarik.

Antara agensi kerajaan dan swasta yang mengambil bahagian dalam karnival itu ialah Pusat Giat Mara, Yayasan Bina Upaya dan IDR sendiri yang turut membuka kaunter pendaftaran Jobs Perak.

Komen & Pendapat

Leave a Reply