Sukan Hari Ini

Grand Prix Negeri Sembilan Medan Untuk Kenal Pasti Calon Layak Ke Olimpik London

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan menjadikan Kejohanan Grand Prix Kebangsaan Sirkit Negeri Sembilan Sabtu ini sebagai medan untuk mengenal pasti calon pelumba berkaliber menyertai acara lebuh raya di Sukan Olimpik 2012 London.

Presidennya Abu Samah Abd Wahab berkata kegagalan pelumba lebuh raya negara di Sukan SEA di Subang Jawa Barat bulan lepas tidak menggoyahkan keyakinan PKBM sebaliknya mereka percaya boleh kembali meletakkan skuad berbasikal negara di landasan perjuangan yang tepat menjelang temasya sukan itu.

“Perlu ditegaskan kita layak secara merit untuk hantar dua pelumba sertai acara lebuh raya di London. Malaysia adalah antara empat negara Asia selain Indonesia dan Jepun yang layak secara merit.

“Ini bukti pasukan lebuh raya kita masih mempunyai masa depan yang cerah. Ia bukan mudah untuk layak ke tahap itu dan perlu diingatkan bahawa kuasa besar Asia seperti Korea Selatan juga tidak layak ke Sukan Olimpik 2012,” katanya dalam satu kenyataan hari Khamis.

Justeru, Abu Samah yang juga naib presiden Persekutuan Berbasikal Asia (ACC), menganggap ia merupakan satu cabaran besar buat negara ketika ini dan mahukan pelumba negara melupakan segala kekecewaan pada temasya di Indonesia.

Bagi memantapkan barisan pelumba lebuh raya negara, beliau turut mengarahkan semua Kejohanan Grand Prix (GP) Kebangsaan yang berorientasikan one-day-race (perlumbaan sehari) kini harus diadakan dalam jarak melebihi 200km kerana perlumbaan lebuhraya di Sukan Olimpik 2012 dipercayai sekitar 250km.

“Selama ini kebanyakan pelumba GP Kebangsaan sering diadakan dalam jarak sekitar antara 160km dan 180km. Justeru, GP Negeri Sembilan harus turut mengambil kira faktor jarak perlumbaan di Sukan Olimpik 2012 iaitu 250km,” katanya.

Malah, beliau juga mahukan dua jurulatih kebangsaan, Graham Seers dan Syed Mohamad Hussain Syed Mazlan segera mengenalpasti dua calon pelumba yang bakal dihantar berlumba di London nanti.

“Kita masih mempunyai waktu kenal pasti siapakah yang boleh dihantar ke London. Mereka patut mula memantau prestasi Mohamad Adiq Hussainie (Othman), Amir Rusli (Mustafa), Ng Yong Li atau Anuar Manan,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");