Sukan Hari Ini
Like

Hampir selesai

December 27, 2011
57 Views
0 Comments
3 minutes read
Hampir selesai

Status Safee bermain di liga haram tidak akan timbul –

KEMELUT melanda Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang turut memberi tempias kepada arena bola sepak negara kerana pembabitan penyerang kebangsaan, Safee Sali yang mewakili Pelita Jaya, mungkin akan menemui jalan penyelesaian dalam tempoh terdekat.

Majoriti ahli gabungan PSSI, bersepakat menuntut pengurusan badan induk bola sepak negara itu mengadakan Kongres Luar Biasa secepat mungkin bagi meleraikan beberapa isu mengenai kepimpinan dan dasar baru ditetapkan presiden barunya, Djohar Arifin.
Antara masalah yang timbul sejak Djohar mengambil alih tampuk kepimpinan PSSI ialah liga utama – Liga Super Indonesia (ISL) – diharamkan dan liga yang sebelum ini dianggap sebagai liga haram – Liga Primer Indonesia (IPL) – diangkat menjadi liga utama.

Pertukaran ini menimbulkan rasa tidak puas hati pengurusan 18 buah kelab utama yang menyertai ISL di mana 95 peratus pemain kebangsaan Indonesia menyertai liga berkenaan termasuk sejumlah besar pemain import berkualiti seperti Safee.

“Sebelum ini FIFA hanya mendengar sebelah pihak saja (Djohar), tetapi pada 29 Disember ini, Jawatankuasa Penyelamat Bola Sepak Indonesia akan bertemu sendiri badan induk bola sepak dunia itu untuk mengemukakan tuntutan mereka kepada PSSI,” kata pengurus peribadi Safee, Zakaria Rahim.

“Pada 19 Disember lalu, 452 daripada 583 ahli PSSI berkumpul dan menyerahkan tuntutan kepada PSSI untuk mengadakan Kongres Luar Biasa secepat mungkin bagi membincangkan status liga utama Indonesia selain undi tidak percaya di atas kepimpinan Djohar.
“Jika PSSI tidak mempedulikan tuntutan ini, maka Kongres Luar Biasa akan dianjurkan Jawatankuasa Penyelamat selewat-lewatnya Mac nanti. Jadi dengan perkembangan terbaru ini, saya percaya status ISL akan kekal sah seperti diputuskan dalam Kongres di Bali awal tahun ini.

“Dengan penerangan ini diharap isu mengenai status Safee beraksi di liga haram dan tidak dibenarkan oleh FIFA untuk mewakili Malaysia tidak timbul lagi. Buat masa sekarang, Safee fokus memikul tugasnya sebagai kapten Pelita Jaya dan jadual perlawanan sehingga Julai sudah dikeluarkan.”

Masalah penganjuran liga di Indonesia timbul apabila Djohar, yang dilantik menggantikan presiden sebelumnya, Nurdin Halid pada Kongres di Solo Julai lalu, menggunakan kuasa sewenang-wenangnya untuk mengubah dasar penganjuran liga Indonesia.

Djohar yang bertanggungjawab menganjurkan liga haram IPL ketika Nurdin berkuasa, bertindak mengangkat liga berkenaan sebagai liga utama sebaik dilantik menjadi presiden, sedangkan hasil kongres pertama di Bali tetap meletakkan ISL sebagai liga utama yang sah.

Dengan penubuhan jawatankuasa baru dan kongres yang bakal diadakan nanti, majoriti kelab yang bernaung di bawah PSSI akan terus berpegang kepada keputusan penetapan awal – ISL sebagai liga utama dan hanya 18 kelab dibenarkan bertanding.

– BERITA HARIAN

Komen & Pendapat

Leave a Reply