Perak Hari Ini

Ipoh Dipromosi Hab Pelancongan Kesihatan Kepada Penduduk Medan

Ipoh akan dipromosi sebagai hab perubatan khususnya kepada penduduk di Medan, Indonesia, menerusi pakej pelancongan kesihatan yang disediakan oleh Unimaju Fly Travel & Tours Sdn Bhd.

Pengarah Urusan syarikat itu, Habidi Zain, berkata perkhidmatan itu dijangka bermula pertengahan tahun depan setelah cadangan berhubung perkara itu dipersetujui Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

“Kita dah ada senarai nama pesakit yang ingin mendapatkan rawatan di sini, dan kita akan berbincang dengan tiga hospital di negeri ini iaitu Hospital Pakar Puteri, KPJ Ipoh Specialist Hospital dan Hospital Fatimah,” katanya kepada pemberita sebelum mengikuti penerbangan sulung Ipoh-Medan bersama Datuk Bandar Ipoh Datuk Roshidi Hashim serta 25 penumpang dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini Khamis.

Habidi berkata perkhidmatan itu adalah untuk memudahkan pesakit yang tidak boleh berjalan mendapatkan rawatan, dan untuk itu, syarikat akan menyewa pesawat daripada Firefly iaitu sebuah anak Malaysia Airlines untuk membawa pesakit dari Medan.

Beliau berkata bilangan rakyat Indonesia dari Medan yang mendapatkan rawatan kesihatan di beberapa hospital swasta di Perak semakin meningkat.

“Mereka memilih hospital swasta di Perak kerana ia menawarkan perkhidmatan bermutu tinggi dengan bayaran lebih murah berbanding di negara lain,” katanya.

Roshidi pula menyambut baik penerbangan Ipoh ke Medan itu kerana ia memudahkan orang ramai dari sini melawat Medan dan bagi rakyat Indonesia berkunjung ke sini, selain membantu kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Ipoh mempromosi kempen Tahun Melawat Perak 2012.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");