Program Basmi Kemiskinan
Like

Isu Taman Lapangan SSI: Pemaju bina jalan dari Taman Sri Perkasa

December 30, 2011
109 Views
0 Comments
4 minutes read
Isu Taman Lapangan SSI: Pemaju bina jalan dari Taman Sri Perkasa

Kemelut yang dihadapi kira-kira 300 penduduk Taman Lapangan SSI, dekat Pasir Puteh berhubung bantahan pembinaan jalan yang bersambung dengan jalan utama taman itu boleh diselesaikan jika sekiranya pemaju terus menggunakan laluan kekal dari Taman Sri Perkasa yang dibina beberapa hari lalu.

Wakil penduduk taman yang enggan dikenali berkata, pemaju telah membina jalan yang menghubungkan tapak pembinaan dengan jalan Taman Sri Perkasa, sekaligus membuktikan bantahan penduduk sebelum itu ada relevannya kerana laluan itu lebih sesuai berbanding kelulusan membina jalan yang bersambung dengan jalan utama Taman Lapangan SSI.

“Perkembangan baru ini telah memberi harapan dan sinar baru kepada penduduk Taman Lapangan SSI yang membantah keras kerja membina jalan yang bersambung dengan jalan utama yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan dan kehidupan kami.

“Kerja membina jalan dari Taman Sri Perkasa ini dimulakan beberapa hari lalu dan pemaju telah mengambil tanah dari kawasan berdekatan tapak projek untuk menyiapkannya,” katanya kepada Perak Today.

Pada 18 November lalu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam satu kenyataan media memaklumkan kerja membina sambungan jalan dan sistem perparitan melalui jalan Taman Lapangan SSI adalah berdasarkan undang-undang yang sah.

Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim, berkata pihak Majlis tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam projek apatah lagi menyebelahi pemaju.

“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa OSC yang dianggotai oleh pelbagai agensi kerajaan telah bermesyuarat pada 19 September 2011 dan membuat keputusan meluluskan cadangan sambungan jalan dan sistem pengairan melalui Taman Lapangan SSI.

“Kelulusan cadangan sambungan jalan dan sistem saliran melalui Taman Lapangan SSI dibuat adalah berdasarkan beberapa faktor khususnya Taman Lapangan SSI bukanlah gated community seperti mana dalam Garis Panduan GP022,” katanya.

Selain itu, Roshidi juga menjelaskan bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pembatalan cadangan sambungan jalan dan sistem melalui Taman Lapangan SSI seperti yang dilaporkan oleh Perak Today pada 28 Oktober lalu.

Pada 10 Oktober lalu, Perak Today.com melaporkan kira-kira 300 penduduk Taman Lapangan SSI, dekat Pasir Puteh, menyuarakan bantahan keras terhadap kerja membina jalan raya dan sistem perparitan yang bersambung dengan jalan utama taman itu kerana dikhuatiri boleh mengancam keselamatan serta menjejaskan kehidupan penduduk di situ.

Walaupun pemaju mendakwa projek membina 118 unit rumah berdekatan Taman Sri Perkasa itu sudah mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), penduduk meragui perkara itu kerana mereka tidak dimaklumkan secara rasmi dan lebih menghairankan tiada sebarang papan tanda dipasang bagi kerja pembangunan di tanah tersebut.

Kebimbangan penduduk itu ada asasnya kerana jika kerja itu diteruskan, ia bukan sahaja menjejaskan keselamatan penduduk tetapi juga boleh mencetuskan masalah kesesakan jalan raya serta banjir kilat yang lebih serius di taman berkenaan.

Bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah itu, MBI pada 3 November lalu mengadakan perjumpaan tergempar dengan wakil penduduk atas permintaan Exco Kanan Kerajaan Negeri merangkap Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman.

Perbincangan berlangsung selama lebih dua jam tanpa mencapai sebarang persetujuan mahupun kata putus serta situasi ‘menang-menang’ antara pihak penduduk dan pemaju.

Lebih mengecewakan penduduk, mereka mendakwa MBI tidak berlaku adil dalam membuat keputusan perancangan projek dan sama sekali tidak mencapai kata sepakat untuk mencapai situasi ‘menang-menang’ yang dicanangkan sebelum itu.

Penduduk turut mendakwa, tindakan pemaju itu jelas menunjukkan pihak itu cuba menjimatkan kos projek dengan membuat jalan raya dan sistem perparitan yang bersambung dengan jalan utama Taman Lapangan SSI.

Komen & Pendapat

Leave a Reply