Perak Hari Ini
Like

Khidmat bas Red Omnibus beroperasi semula: Dr Mah

December 30, 2011
312 Views
0 Comments
2 minutes read
Khidmat bas Red Omnibus beroperasi semula: Dr Mah

Syarikat Red Omnibus Co Sdn Bhd, operator perkhidmatan bas henti-henti di Daerah Larut Matang dan Selama, Kuala Kangsar dan Lenggong bersetuju untuk meneruskan semula operasi yang ditamatkan sejak beberapa hari lalu akibat menanggung kerugian yang besar.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata keputusan itu dicapai hasil perbincangan antara kerajaan negeri dengan pemilik syarikat berkenaan, Steven Yau.

“Kita dimaklumkan bahawa 8,000 pengguna akan terjejas jika perkhidmatan ini diberhentikan dan bagi menyelesaikan masalah ini, kerajaan telah berbincang dengan syarikat terbabit yang akhirnya bersetuju untuk meneruskan operasi mereka seperti biasa.

“Syarikat ini telah beroperasi sekian lama tetapi keputusan untuk menamatkan perkhidmatan merupakan satu yang tindakan tidak dapat dielakkan kerana syarikat terpaksa menanggung kerugian besar,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mah berkata, keputusan syarikat untuk beroperasi semula sememangnya berita gembira buat kerajaan negeri yang turut prihatin dengan masalah yang dihadapi pihak berkenaan.

Tegasnya, perkhidmatan bas henti-henti merupakan kemudahan penting untuk rakyat negeri ini dan kerajaan telah menyediakan subsidi kepada pengusaha bas di Daerah Manjung bagi menyediakan perkhidmatan itu.

“Sebagai wakil kerajaan negeri, saya ingin menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada pihak syarikat Red Omnibus dan bantuan subsidi akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri seterusnya.

“Dalam Bajet 2012, kita memutuskan untuk menaiktaraf perkhidmatan bas henti-henti di beberapa kawasan termasuklah di Daerah Larut Matang dan Selama serta Daerah Kuala Kangsar.

“Bagi tujuan itu, kerajaan akan melihat mekanisma sesuai bagi menaiktaraf perkhidmatan bas di kawasan berkenaan dengan bantuan subsidi,” tegasnya lagi.

Unit Perancang Ekonomi  Negeri (UPEN) katanya, diminta untuk menyediakan kertas kerja dengan secepat mungkin sebelum ia dibincangkan dalam mesyuarat exco akan datang.

Komen & Pendapat

Leave a Reply