Perak Hari Ini

Perak anjur siri penerangan bergerak babit 80 Komuniti 1Malaysia: Saarani

Kerajaan Perak melalui Jabatan Penerangan negeri akan mengadakan siri penerangan bergerak membabitkan 80 Komuniti 1Malaysia berhubung input Bajet 2012 yang dibentangkan oleh kerajaan Pusat dan negeri, mulai 11 Disember ini.

Exco Penerangan negeri, Datuk Saarani Mohamad, berkata beliau diamanahkan oleh kerajaan negeri untuk memantau dan melaksanakan program itu dengan kerjasama agensi berkaitan selepas mendapat kelulusan dalam mesyuarat exco.

“Masyarakat perlu diberi maklumat yang tepat kerana maklumat yang disebar bebas seperti dalam blog, Facebook dan Twitter mengandungi banyak racun daripada penawar sehinggakan maklumat yang benar tidak lagi dipercayai.

“Kita melihat media baru ini telah mengurangkan peluang orang ramai berkomunikasi secara bersemuka yang sebenarnya lebih baik dan berkesan dalam menyampaikan sesuatu maklumat,” katanya.

Kerajaan negeri di bawah portfolio jawatankuasa penerangan juga katanya, akan mengumpulkan 2,000 peserta dalam seminar yang dihadiri Ketua Kampung dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Lumut pada 15 Disember ini  bagi menyampaikan segala maklumat berkaitan Bajet 2012.

Tambahnya, seminar itu juga turut disertai  tok imam, bilal, penyelaras dan guru Kelas Fardu Ain (KAFA) serta pegawai Jabatan Penerangan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang boleh bertindak sebagai agen penyampai maklumat kepada rakyat dalam majlis-majlis rasmi dan kelompok kecil.

“Input maklumat yang akan disampaikan ialah berkaitan Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Kerajaan Pusat dan negeri Perak.

“Di pihak Jabatan Penerangan pula, maklumat ini akan disebarkan melalui Komuniti 1Malaysia yang mana terdapat 80 mukim di seluruh Perak,” katanya kepada pemberita selepas majlis Luncheon Talk Negeri Perak di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Penerangan negeri, Muhamad Aszahari Abdul Rahman.

Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) pula tegasnya, akan berada di 200 lokasi untuk menyampaikan maklumat ini kepada orang ramai.

Beliau berkata, kerajaan mahu agar rakyat diberi maklumat tepat mengenai bantuan yang disumbangkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang prihatin, menjaga kebajikan serta konsep negara makmur.

“Jika penerangan tidak dilaksanakan, orang ramai tidak dapat melihat dan mengetahui perkara itu secara jelas termasuklah isu bantuan kenaikan harga barang dan pemberian bantuan RM500 kepada golongan yang layak,” tegasnya lagi.

Tambahnya, pihak pembangkang khususnya akan mengambil kesempatan untuk memutar-belit bantuan yang dihulurkan jika tiada penjelasan sebenar diberi oleh kerajan kepada rakyat.

“Kerajaan melalui Jabatan Penerangan dan agensi berkaitan bertanggungjawab untuk menyebar maklumat tepat dan menyangkal tohmahan yang dibangkitkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Siri penerangan yang membabitkan tiga agensi ini akan dijalankan sehingga hujung bulan Disember bergantung kepada golongan sasaran masing-masing,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");