Perak Hari Ini
Like

Perak sasar wujud 59 Kedai Rakyat 1Malaysia tahun depan: DS Zambry

December 24, 2011
79 Views
0 Comments
3 minutes read
Perak sasar wujud 59 Kedai Rakyat 1Malaysia tahun depan: DS Zambry

Perak menyasarkan untuk mempunyai sekurang-kurangnya sebuah Kedai Rakyat 1Malaysia di setiap 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata melalui usaha itu ia mampu mengurangkan beban rakyat terutamanya di kawasan luar bandar untuk membeli barangan keperluan harian dengan harga yang berpatutan.

Selain itu, pengguna juga katanya, kini berpeluang membeli barangan keperluan jenama  1Malaysia atau jenama popular lain dengan  membuat perbezaan harga yang ditawarkan di premis terbabit yang terbukti jauh lebih murah dari harga pasaran.

“Setakat ini, terdapat lima buah premis Kedai Rakyat 1Malaysia yang beroperasi di negeri Perak iaitu Bagan Serai, Parit Buntar, Teluk Intan, Bidor dan Manjoi.

“Ini merupakan usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melalui idea Perdana Menteri yang telah memperkenalkan konsep Kedai Rakyat 1Malaysia di seluruh negara.

“Melalui lima premis yang sudah beroperasi di Perak ini, kita berharap ia bakal menjadi permulaan yang baik kepada usaha kerajaan membantu rakyat dalam mengurangkan beban kos sara hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kedai Rakyat 1Malaysia di Bagan Serai, pagi tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, Kedai Rakyat 1Malaysia juga memberi ruang dan peluang kepada usahawan kecil dan sederhana (IKS) tempatan dan di seluruh negara untuk berkembang maju dalam bidang yang diceburi.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga telah memperkenalkan Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) bagi menyediakan kemudahan kepada rakyat untuk membeli produk 1Malaysia.

Tegasnya, melalui tranformasi itu, kedai runcit sedia ada akan dinaiktaraf dan barangan jualan juga ditambah dari semasa ke semasa bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Setakat ini, kita mempunyai 23 kedai di bawah konsep ini di seluruh Perak dan kita berharap dapat mewujudkan 59 kedai sama iaitu satu di setiap DUN pada tahun depan,” katanya lagi.

Kedai Rakyat 1Malaysia merupakan salah satu inisiatif proaktif kerajaan yang prihatin dalam membantu rakyat berbilang kaum terutamanya yang berpendapatan rendah dan keterbawahan menangani beban kenaikan kos sara hidup.

Ia juga diwujudkan sebagai alternatif kepada rakyat dalam membuat pilihan untuk membeli barang keperluan harian mereka melalui konsep pasar mini yang menjual barangan keperluan asas pada harga berpatutan iaitu 30 hingga 50 peratus lebih murah dari harga pasaran.

Syarikat Mydin Mohamed Holding Berhad (MYDIN) diberi tanggungjawab mengurus dan menjalankan operasi kedai ini di negeri Perak.

Kedai Rakyat 1Malaysia di Toko Hudaya, Taman Serai Maju telah beroperasi pada 24 November lalu dan mempunyai 14 kakitangan sepenuh masa.

Komen & Pendapat

Leave a Reply