Perak Hari Ini

PRU-12 beri hikmah politik kepada BN Perak

Pilihanraya Umum Ke-12 memberi hikmah politik kepada Barisan Nasional (BN) Perak supaya tidak meletakkan calon yang dibenci rakyat pada pilihan raya umum akan datang, kata Pengerusi Badan Perhubungan negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Tegasnya, perkara itu telah dianggap dan diambil mudah pada PRU-12 dan kini BN negeri Perak merasakan ia perlu ditangani dengan sebaik-baiknya.

“Saya fikir PRU Ke-12 telah memberi hikmah politik kepada Perak yakni pengajaran kepada kami semua tentang masalah yang dianggap mudah dan diambil mudah.

“Ini termasuklah masalah mereka yang tidak mahu berundur, sudah lama dan dibenci rakyat yang apabila diletakkan, rakyat akan tolak calon ini.

“Ia memberi pengajaran kepada kita supaya jangan ambil mudah perkara ini…bila dah sampai masa, sudahlah,” katanya kepada pemberita di Ipoh selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Ipoh, hari ini.

Pada 9 Disember lalu, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak dari UMNO menyatakan kesediaan untuk berundur dan memberi sokongan dan kesetiaan kepada parti jika tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Mereka adalah Adun Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar; Adun Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam dan Adun Belanja, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan.

Ketiga-tiga wakil rakyat dari UMNO itu menegaskan jika pucuk pimpinan parti menganggap mereka adalah calon boleh menang, mereka sedia bertanding.

Kesediaan ketiga-tiga wakil rakyat itu dilihat sebagai teladan yang baik oleh BN Perak, kata Zambry yang juga Menteri Besar Perak.

“Ini merupakan contoh yang baik dan kita harap ia akan menjadi teladan kepada yang lain juga. Soal samada mereka terpilih atau tidak sudah menjadi nombor dua bagi saya.

“Tetapi, yang penting mereka bertiga telah bersedia untuk berundur jika tidak dipilih dan tidak dianggap calon boleh menang. Sekiranya ada calon baru, mereka berikrar akan memberi sokongan kepada calon terbabit.

“Selain itu, mereka turut mengharapkan agar calon yang menggantikan mereka itu bukannya calon yang pernah mensabotaj parti dan ini merupakan satu pandangan yang baik,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");