Berita Hari Ini

Wakil Rakyat Pembangkang Dibidas Exco Berkenaan Isu Saman Oleh PBT

Seorang wakil rakyat pembangkang yang cuba meraih simpati dengan membawa isu sebuah syarikat pengedaran rokok dikenakan denda dan kompaun berjumlah RM13,000 atas kesalahan meletak kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya telah memakan dirinya sendiri.

Beliau sebaliknya ditegur oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan Pahang Datuk Mohd Soffi Abdul Razak supaya menasihati pesalah terbabit membayar denda itu kerana melanggar peraturan yang ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Mohd Soffi berkata segala denda, saman dan kompaun yang dikenakan kepada mereka yang melanggar peraturan adalah sebagai pengajaran kepada pengguna untuk lebih berdisiplin.

“Sebagai wakil rakyat, anda perlu memberitahu pesalah itu dan menasihati mereka untuk membayar denda kerana sesiapa yang menggunakan ruang letak kereta perlu membayar untuk lot itu.

“Anda mesti juga membayar untuk menggunakan elektrik, telefon, air atau apabila anda membeli rumah kos rendah, ia adalah budaya yang mesti diterapkan,” kata Mohd Soffi ketika menjawab kenyataan (DAP-Tras) Choong Siew Onn ketika membahaskan Belanjawan 2012 kerajaan Pahang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Selasa.

Mohd Soffi berkata dalam kes itu pesalah berkenaan mahukan sesuatu secara percuma dan enggan membayar denda yang dikenakan.

Choong sebelum itu berkata beliau menerima aduan daripada orang ramai termasuk syarikat berkenaan mengenai jumlah saman serta denda tinggi yang dikenakan oleh PBT terhadap kenderaan mereka.

Beliau berkata syarikat itu memiliki 17 buah van dan mendakwa bahawa pekerja mereka telah meletakkan kenderaan di ruang yang tidak merbahaya dan tidak mengganggu lalu lintas.

“Syarikat itu hanya mengetahui tentang saman bernilai RM13,000 itu setelah memeriksanya dengan PBT,” katanya.

Mengenai cadangan Choong bahawa kerajaan negeri perlu memberi lebih tumpuan terhadap pelaburan dalam teknologi hijau dan meneliti semula projek perlombongan emas di Raub dan kilang nadir bumi di Gebeng, Mohd Soffi berkata mineral yang digali mentah dari bumi memerlukan bahan kimia untuk memprosesnya.

“Anda beritahu saya bagaimana untuk mendapatkan emas dan nadir bumi yang ditapis dengan menggunakan teknologi hijau? Anda perlu menggunakan bahan kimia untuk mengasingkan benda itu semua,” katanya.

Mohd Soffi berkata pembangkang hanya menggunakan persidangan DUN untuk mengkritik PBT dan cuba menunjukkan bahawa kerajaan negeri tidak sensitif terhadap nasib rakyat.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");