Program Basmi Kemiskinan

6,000 penduduk terseksa hidu bau busuk sampah sejak 20 tahun lalu

Lebih 6,000 penduduk di 7 buah taman sekitar Bercham, Tanjung Rambutan dan Ulu Kinta saban hari mempertaruhkan kehidupan selesa mereka apabila terpaksa bertarung dengan pencemaran bau dari Tapak Pelupusan Sampah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Batu 8, Jalan Bercham-Tanjung Rambutan.

Malah lebih teruk, janji yang dibuat sejak puluhan tahun dahulu seolah-olah dibiarkan tanpa ada apa-apa tindakan dari pihak-pihak berwajib.

Penderitaan menghidu bau busuk sampah yang dialami penduduk ini semakin menjadi-jadi terutama apabila musim hujan dimana bauan tersebut dibawa angin dari pusat pelupusan sampah terbabit.

Walaupun pelbagai aduan di setiap saluran telah dibuat keadaan masih sama dan kini ia telah berlarutan lebih 20 tahun lamanya.

Salah seorang penduduk yang ditemui,  Abdul Razak Muhammad, 65, yang merupakan penduduk Kampung Lim Tan, Ulu Kinta berkata perkampungan itu adalah antara yang paling hampir dengan tapak perlupusan sampah terbabit.

Lebih teruk katanya, rumahnya hanya terletak 93 meter dari pusat berkenaan dan beliau adalah antara yang paling cepat menerima kesan daripada kewujudan tapak pelupusan itu.

“Saya telah tinggal di kawasan ini sejak 12 tahun lepas dan bau busuk sampah itu paling kuat kerana tapak pelupusan itu terletak hampir  dengan rumah saya… cuba anda fikir bagaimana kami sekeluarga boleh hidup setiap hari dengan bau yang sebegini.

“Macam-macam janji yang pihak MBI buat dari dulu namun sampai sekarang tidak ada apa pun perubahan dan sejak itu saya mula menyedari masalah tidak akan berakhir, sudah berapa kali masuk surat khabar, Datuk Bandar pun telah datang. Kami sudah tidak tahan,” katanya.

Tambahnya lagi, dengan lokasi perkampungan mereka yang hampir dengan tapak lupus terbabit ditambah pula dengan kuantiti sampah yang semakin menggunung maka penduduk di kawasan itu terpaksa menempuh kehidupan dengan menghidu bau sangat dahsyat setiap hari.

“ Anda semua yang baru tiba hari ini pun sudah tidak tahan dengan bau sampah yang begitu kuat ini bagaimana kami yang tinggal berhampiran sini?

“Sebelum ini MBI janji akan pindahkan tapak ini tapi tahun demi tahun masih tidak ada apa-apa yang berlaku, ini dah lama sangat,” katanya kepada PerakToday pagi tadi.

Jelas Razak lagi, faktor yang menyebabkan bau-bau sampah ini tersebar ke seluruh kawasan berdekatan adalah kerana kerja-kerja penimbusan bagi tujuan melupus tidak dilakukan mengikut prosedur.

Maka, penduduk di tujuh kawasan perumahan iaitu Kampung Lim Tan, Taman Delima, Taman Indah, Bandar Baru Putra, MDP Villa, Taman Jaya Delima dan Taman Jothi terpaksa menerima kesannya sejak 20 tahun lepas.

Seorang penduduk atau mangsa bau busuk tapak lupus sampah terbabit, H. Sugunabala, 43, yang tinggal di Taman Berjaya, Bandar Baru Putra turut mengakui kesan pencemaran udara dan air yang terpaksa ditanggung mereka sejak tinggal di kawasan itu.

Sugunabala yang telah tinggal di situ sejak 20 tahun juga tidak menafikan penyeksaan mereka semakin dahsyat saban hari sehingga mengakibatkan tiga anaknya mengalami penyakit asma.

“Bau busuk ini kita tidak tahan, ada yang buat kenduri jemputan datang tetapi tidak berselera makan. Ketiga-tiga anak saya menghidapi penyakit asma kerana bau busuk sampah,” katanya.

Selain itu, penduduk asal kawasan itu, Teoh Geok Lim, 76, yang juga menetap di Kampung Lim Tan penderitaan mereka bemula sejak tahun 80-an lagi.

Geok Lim yang mula tinggal di kampung itu pada 1975  memberitahu tapak itu dibuka sekitar tahun 1978 dan mula menghadapi masalah bau busuk dari pusat itu pada awal 1980-an.

“Mula-mula ia dibuka memang tidak ada bau sebab sampah pun sebab masih belum banyak sampah tapi selepas beberapa tahun  bau sudah mula kuat dan sehingga kini, kami boleh lihat seolah-olah wujudnya kawasan pergunungan sampah dari rumah kami.

“Sebab itu dulu ramai yang tinggal kawasan ini tapi mereka mula berpindah kerana bau busuk sampah menyebabkan kehidupan penduduk sekitar tidak selesa,” katanya.

Demikianlah penderitaan penduduk di sekitar kawasan itu yang terpaksa menghidu bau busuk sejak bertahun-tahun walaupun telah beberapa kali mengadu kepada MBI berhubung masalah bau busuk dan pencemaran air yang berlaku akibat kerja-kerja pelupusan sampah di pusat berkenaan tidak dilakukan secara teratur hingga menimbulkan kesan kesihatan dan masalah sosial di kalangan masyarakat.


Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");