Perak Hari Ini

BN Perak tidak mahu ulangi kesilapan umum calon di saat akhir: DS Zambry

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata parti itu tidak mahu mengulangi kesilapan sama pada pilihan raya umum 2008 dengan mengumumkan calon yang bakal bertanding di saat-saat akhir.

“Ketika ini, BN Perak sedang membuat penilaian yang berterusan terhadap calon-calon yang berpotensi bertanding pada pilihan raya umum akan datang yang memenuhi kriteria disukai ramai dan boleh menang.

“Kita juga sudah belajar daripada kesilapan lama iaitu pengumuman calon di saat akhir pada pilihan raya 2008 tidak mendatangkan kesan baik kepada parti kerana rakyat tidak dapat mengenali dan membiasakan diri dengan calon yang bakal mewakili suara mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan laluan alternatif Bercham keluar ke PLUS, di Ipoh, pagi ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, semua parti komponen BN juga diminta supaya membuat penilaian calon masing-masing secara berterusan.

Ditanya pemberita mengenai berapa peratus calon yang sudah dikenalpasti, beliau menegaskan sasaran itu tidak dapat ditetapkan kerana penilaian terhadap calon perlu dilaksanakan secara berterusan.

“Yang penting, calon itu mestilah disukai rakyat dan boleh menang seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri dan di peringkat BN Perak, kita sudah pun mengadakan perbincangan bersama parti komponen yang turut memberi fokus kepada penilaian berterusan terhadap calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum nanti,” katanya lagi.

Sementara itu, akibat tsunami politik pada 2008, ada calon BN katanya, kalah tipis di Perak kerana protes pengundi terhadap calon yang bertanding di kerusi Parlimen.

Katanya, meskipun kalah, calon yang kalah ini terus bekerja untuk rakyat sekaligus membuka mata mereka untuk kembali menyokong BN pada pilihan raya akan datang.

“Hasil tinjauan melalui program turun padang berjumpa rakyat dan peniaga, saya mendapat maklumat bahawa rakyat mahu calon yang kalah tipis ini mewakili suara mereka semula kerana melihat calon parti yang menang tidak melaksanakan tugas mereka dengan baik.

“Jadi, soal majoriti rendah atau tinggi yang dimenangi pada pilihan raya lalu bukanlah satu-satunya kriteria yang kita lihat dalam membuat pemilihan calon pada pilihan raya umum akan datang,” tegasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");