Kolumnis
Like

Demonstrasi Pelajar Di UPSI Bakal Cetuskan ‘Bala’ Baru

January 1, 2012
298 Views
0 Comments
4 minutes read
Demonstrasi Pelajar Di UPSI Bakal Cetuskan ‘Bala’ Baru

Dalam peristiwa subuh tadi, 15 orang pelajar UPSI yang terlibat dengan BEBAS dan SMM telah diberkas oleh pihak polis selepas mereka enggan bersurai dan merempuh Pasukan Polis Simpanan Persekutuan yang ditugaskan mengawal keadaan di hadapan pintu pagar UPSI. Dalam ‘serangan’ itu juga, dua orang pelajar iaitu Safwan Anang dari Universiti Malaya dan Amar Rasyidi mengalami kecederaan.

Menariknya, Safwan Anang cuba diperlihatkan sebagai mangsa serangan ganas pihak polis. Jentera propaganda Pakatan Rakyat mencipta berita ‘gruesome’ dengan mengatakan Safwan Anang berada dalam keadaan kritikal dan nazak kesan pukulan cota dan layanan kasar pihak polis. Bagaimanapun, cerita tentang nazak dan kritikal itu sebenarnya adalah ulangan skrip yang cuba dilakonkan oleh Anwar Ibrahim dan Suradi, lelaki beristeri dua yang identiti serta latar belakangnya didedahkan oleh blog-blog pro-Kerajaan semasa pasca BERSIH 2.0 beberapa bulan lepas.

Kebebasan Akademik dan Penghapusan AUKU menjadi modal yang sangat mujarab di kalangan pelajar-pelajar universiti yang diketuai oleh BEBAS dan SMM. Kedua-dua entiti tersebut seperti yang diketahui sememangnya merupakan jentera propaganda Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat di kalangan mahasiswa. BEBAS dan SMM mengakui mereka mewakili majoriti pelajar-pelajar universiti walaupun hakikatnya jumlah mereka adalah minoriti.

http://youtu.be/mvwn1TVX8m8

Terbukti jelas dalam demonstrasi yang ditunjukkan di hadapan pintu pagar UPSI subuh tadi, keterujaan kerana mendapat sokongan daripada pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, khususnya PKR, mendorong pelajar-pelajar yang tidak memikirkan masa hadapan mereka, bertindak menghitamkan masa hadapan mereka sendiri.

Trend melawan kerajaan cuba diwujudkan oleh Anwar Ibrahim dan gerombolannya di kalangan para pelajar universiti. Menentang kerajaan dianggap sebagai satu perbuataan yang COOL. Manakala mengikut dan akur dengan tugasan sebenar mereka selaku pelajar dianggap sebagai POYO.

Sebenarnya, Akta AUKU yang ditentang oleh gerombolan seperti Adam Adli merupakan sebuah akta yang digunakan untuk mengekang kebebasan keterlaluan, bahkan memberi peluang kepada para pelajar universiti tersebut menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran untuk menghadapi realiti kehidupan sebaik-baik sahaja tempoh pembelajaran mereka tamat.

Dalam kejadian semalam, hanya dua orang pelajar UPSI yang ditahan – seorang lelaki dan seorang perempuan bernama Lulu Yuna. Selebihnya daripada 17 orang yang ditahan itu adalah pelajar-pelajar UNISEL, UIA dan MSU.

Berdasarkan kepada video yang dipaparkan oleh portal ANTARAPOS, pihak polis telah memberikan ruang serta masa untuk gerombolan pelajar tersebut berucap dan menjalankan upacara TALKINKAN AUKU. Namun arahan bersurai yang dikeluarkan oleh pihak polis tidak diendahkan langsung. Sebaliknya para pelajar tersebut, berusaha memecahkan pintu pagar utama UPSI dalam apa yang mereka gelarkan sebagai MENAWAN DAN MEMBEBASKAN UPSI.

Gelagat sebegitu, sudah tentu mendorong pihak polis untuk bertindak bagi menyuraikan sebarang masalah yang bakal ditimbulkan. Dan sebenarnya itulah yang diperlukan oleh budak-budak universiti tersebut. Pemantauan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin PKR yang turut berada di bahagian belakang agar demonstrasi tersebut mengikut skrip yang telah mereka karang, jelas membuktikan niat jahat PKR untuk melihat kemusnahan masa hadapan pelajar-pelajar Melayu-Bumiputera.

Alasan kononnya, demonstrasi tersebut akan membuka minda para pelajar universiti untuk mengambil tahu hal dunia dan negara sememangnya adalah alasan yang paling bodoh pernah kita dengar. Pernahkah kita mendengar bagaimana PKR dan Pakatan Rakyat cuba membuat demonstrasi di hadapan kampus induk pusat-pusat pengajian tinggi swasta terutama sekali yang bukan dimiliki oleh kerajaan negeri? Mengapa agaknya PKR dan Pakatan Rakyat tidak menghasut para pelajar di institusi pengajian tinggi swasta untuk berdemonstrasi dan melupakan tentang pelajaran semata-mata untuk menyatakan solidariti mereka kepada Anwar Ibrahim?

Sudah tentu para pemimpin Pakatan tidak akan berbuat begitu memandangkan kebanyakan institusi pengajian tinggi swasta mempunyai peraturan yang jauh lebih ketat dan lebih membimbing para pelajar mereka untuk mencapai kecemerlangan akademik berbanding terlalu mahir dalam bidang politik.

Bala untuk generasi muda Melayu-Bumiputera seandainya perkara sebegini terus dibiarkan dan gelagat bebas hasutan para pemimpin PKR khususnya tidak dikekang dari awal oleh golongan pelajar sendiri!

Komen & Pendapat

Leave a Reply