Perak Hari Ini

Gerakan Mahasiswa diingat jangan jadi alat parti politik: DS Zambry

Gerakan mahasiswa di Institui Pengajian Tinggi perlu sedar akan perjuangan sebenar kumpulan itu supaya tidak menjadi alat untuk memenuhi matlamat sesebuah parti.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata kepimpinan pelajar haruslah berpegang teguh dengan matlamat asal gerakan atau pertubuhan mereka dan tidaklah terpengaruh dengan ideologi politik.

Diakui terdapat segelintir mahasiswa yang berminat dalam bidang politik namun mereka perlu sedar akan kepentingan perjuangan asal bagi memastikan golongan terbabit tidak diperalatkan hanya untuk memuaskan matlamat sesebuah kumpulan yang berkepentingan lebih besar.

Zambry yang pernah aktif dalam gerakan mahasiswa dan pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1998 turut menyifatkan perhimpunan haram yang dianjurkan oleh kumpulan penuntut Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) jelas mempunyai matlamat tertentu namun tanpa disedari mereka sedang diperalatkan oleh golongan tertentu.

“Kita dengar apa yang berlaku dan sebab itu kita selalu ingatkan gerakan penuntut, sebagai kepimpinan dalam gerakan, apa yang kita bawa dan perjuangkan jangan sampai di satu peringkat kita menjadi alat untuk memuaskan dan memenuhi kehendak satu-satu kumpulan dan parti yang mempunyai kepentingan lebih besar.

“Mereka perlu letakkan satu penanda aras dan tidak bertindak mengikut ideologi tertentu sahaja”.

Zambry yang ditemui selepas majlis memperkenalkan pemain bola sepak skuad Perak di kediaman rasmi, hari ini berkata demikian sebagai mengulas perhimpunan haram yang dianjurkan oleh SMM selepas sambutan ambang tahun baru di UPSI sehingga menyebabkan dua anggota kumpulan itu cedera.

Semalam, Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan menafikan tuduhan anggotanya menggunakan kekerasan ketika menyuraikan perhimpunan haram itu yang tersebar di beberapa blog.

Kecederaan anggota kumpulan mahasiswa itu adalah disebabkan rempuhan yang mereka lakukan sendiri serta perhimpunan itu adalah haram kerana tidak mempunyai permit manakala SMM merupakan sebuah persatuan yang tidak berdaftar, katanya.

Zambry berkata, ada pihak yang mengambil kesempatan daripada kejadian yang berlaku ekoran perhimpunan berkenaan dengan tujuan meraih rasa simpati orang ramai untuk bagi menyokong mereka.

Katanya, keadaan mengganggu ketenteraman awam termasuk sebuah klinik turut dipecahkan ketika perhimpunan itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Apa pun yang mengganggu keharmonian dan kedudukan awam merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima…biar pihak polis membuat siasatan menyeluruh sama ada tindakan mereka itu berada dalam lingkungan yang dibenarkan atau tidak,” katanya.

Awal pagi semalam, kira-kira 70 penuntut beberapa universiti berhimpun secara haram di pekarangan UPSI bagi menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 selain mendesak supaya penuntut UPSI, Adam Adli, yang menurunkan bendera wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Ibu Pejabat Umno pada 17 Disember lepas tidak dikenakan tindakan tata tertib oleh pentadbiran universiti berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");