Perak Hari Ini

Gerakan yakin tiada pertukaran kerusi di Perak: Chang Ko Youn

Parti Gerakan hari ini menyuarakan keyakinan penuh calonnya kekal bertanding merebut tiga kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Presidennya, Datuk Chang Ko Youn, berkata seperti pilihan raya umum yang lalu, parti itu akan meletakkan calon untuk  bertanding di Parlimen Taiping, Beruas dan Teluk Intan.

Parti itu juga katanya, diberi kouta bertanding merebut kerusi DUN Jalong, DUN Kuala Sepetang, DUN Canning dan DUN Aulong.

“Kita yakin tiada pertukaran kerusi baik di peringkat Parlimen atau DUN di Perak dan ketika ini, 99 peratus calon telah pun dikenalpasti dengan separuh daripada mereka ini adalah muka baru dalam arena politik.

“Calon-calon ini sedang giat turun padang untuk berjumpa rakyat di kawasan masing-masing dan kempen juga turut diperhebatkan bagi memastikan kemenangan BN pada pilihanraya umum akan datang,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Terdahulu, Ko Youn yang juga Penasihat Khas Menteri Besar Perak menyerahkan sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM9,000 kepada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGOS).

Dalam perkembangan berkaitan, keyakinan itu katanya, bersandarkan kepada hubungan baik dan persefahaman yang terjalin selama ini.

Tegasnya, apa yang lebih penting, pertukaran kerusi sesama parti komponen BN perlulah dipersetujui oleh semua pihak bagi mengelak rasa tidak puas hati.

“Dalam laporan akhbar berbahasa Cina, saya telah dimaklumkan MCA menyatakan minat untuk meletakkan calon mereka di DUN Pasir Berdamar yang dahulunya adalah kouta Gerakan tetapi pada pilihan raya umum 2004, ia diserahkan kepada Parti Progresif Rakyat (PPP).

“Sebagai ganti, calon Gerakan bertanding di Kota Alam Shah dan kita yakin tradisi itu akan terus dikekalkan pada pilihan raya umum ke 13 nanti,” katanya lagi.

Tambahnya, bukan setakat DUN Pasir Berdamar, MCA turut menyuarakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Taiping dan Teluk Intan.

“Saya berharap parti MCA tidak menggunakan media massa untuk menyuarakan hasrat mereka sebaliknya menyalurkannya melalui peringkat negeri dan Pusat.

“Selama ini, Gerakan mengamalkan sikap positif dengan mengelak daripada memberi maklumbalas berkaitan isu ini melalui paparan di dada akhbar tempatan,” tegasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");