Perak Hari Ini

Digantung Pengajian: Tiada tanda penyesalan Adam Adli

Aktivis politik, Adam Adli Abdul Halim, 22, yang diangkat sebagai pejuang mahasiswa hari ini tidak dapat menerima kenyataan apabila Jawatankuasa Tatatertib Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim membuat keputusan untuk menggantung pengajian beliau selama tiga semester berkuatkuasa serta merta.

Sebelum ini, beliau telah mencetuskan kontroversi kononnya untuk memperjuangkan hak bersuara mahasiswa dengan menurunkan bendera mempunyai wajah Perdana Menteri, Datuk Najib Razak pada 17 Disember lalu.

Tindakan beliau itu akhirnya membawa padah bukan sahaja kepada diri sendiri malah sekaligus menggelapkan masa depannya sebagai penuntut tahun ketiga jurusan Mengajar Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) peringkat sarjana muda.

Jawatankuasa berkenaan yang diketuai oleh Naib Canselor UPSI, Datuk Dr. Zakaria Kasa menjatuhkan hukuman berkenaan berikutan tindakan Adam Adli yang dilihat telah mencemarkan imej UPSI sebagai institusi pendidikan tinggi awam.

Timbalan Naib Canselor UPSI (HEP dan Alumni), Datuk Paduka Dr. Junaidi Abu Bakar dalam kenyataanya berkata pihak Jawatankuasa Tatatertib telah mensabitkan kesalahan pelajar dibawah kaedah 3 (a) (i) dan (ii), Bahagian II, Tatatertib Am, Kaedah-Kaedah UPSI 1999 yang membawa hukuman digantung pengajian selama 3 semester bermula pada awal semester II sesi 2011/2012 sehingga akhir semester II sesi 2012/2013.

“Jawatankuasa yang melibatkan 5 panel itu juga mendapati pertuduhan atas tindakan kurang ajar Adam telah dapat dibuktikan termasuk tindakannya yang merosakkan atau memudaratkan kepentingan, kesejahteraan atau nama baik universiti, pelajar dan kakitangan UPSI serta ketenteraman atau keselamatan awam, moral kesopanan dan tatatertib,” katanya.

Berdasarkan kenyataan media dari UPSI, keputusan penggantungan berkenaan dibuat setelah mengambilkira kes tatatertib lalu yang telah dilakukan oleh Adam Adli walaupun telah diberi amaran.

Difahamkan juga, selain tindakan menurunkan bendera, Adam Adli juga dikatakan telah membuat beberapa kesalahan lampau malah telah melanggar akujanji yang diikrar pada 29 Jun 2009.

Sebelum itu, Adam Adli yang tidak diwakili peguam dilihat memasuki kamar perbicaraan jam 3 petang tadi dan keluar dari bilik itu pada 4.30 petang.

Baru setahun jagung dalam arena politik negara, Adam Adli telah berjaya mencuri perhatian media dengan pelbagai kontroversi namun dia akhirnya terpaksa akur setelah keputusan penggantungan itu dijatuhkan terhadapnya.

Namun apa yang dilihat, tidak ada sedikit pun rasa sedih atau menyesal berikutan pengajiannya digantung malah beliau menyatakan ingin mencabar keputusan yang telah dibuat oleh UPSI.

Malah, pelajar UPSI dengan megahnya memberitahu bahawa dia akan memfailkan semula kes itu di mahkamah luar.

Pada 17 Disember lalu, seramai 300 mahasiswa Malaysia berarak dari Masjid Jamek Kuala Lumpur ke perkarangan ibu pejabat UMNO di PWTC bagi menyerahkan memorandum membantah AUKU kepada Datuk Saifudin Abdullah selaku Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Mereka menuntut agar PM memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) secara total dan kembalikan autonomi kepada universiti.

Selain itu, mereka turut menuntut memansuhkan sepenuhnya AUKU, Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174) dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Akta 555).

Jika Parlimen dibubarkan tetapi kerajaan masih tidak memansuhkan AUKU, mahasiswa akan memastikan Barisan Nasional (BN) tumbang dalam pilihan raya umum ke-13.

Bendera Najib telah diturunkan selama lima minit dinaikkan bendera SMM dan BEBAS.

Setelah ditegur, bendera Najib dinaikkan semula dan bendera lima Perdana Menteri lain yang diletak sebaris tidak dikacau ganggu.

Antara mahasiswa yang terlibat ialah mahasiswa UPSI , Adam Adli Abdul Halim.

Tindakan menurunkan gambar Najib selaku presiden UMNO itu dilihat sebagai simbolik kepada hilang percaya anak muda ke atasnya selaku ketua kerajaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");