Perak Hari Ini

Jabatan Perikanan Perak Akan Memperbanyakan Lagi Program Pelepasan Benih Ikan Ke Sungai, Tasik dan Lombong Seluruh Perak

JABATAN Perikanan Negeri Perak akan memperhebatkan lagi Program Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum di seluruh negeri ini bagi menambah stok sumber perikanan dan menjamin bekalan sumber protein berasaskan terus mencukupi.

Pengarah Perikanan Perak, Sani Mohd Isa, berkata pada Program Perlepasan Benih Ikan Peringkat Kebangsaan di Kuala Kangsar tahun lalu sahaja, lebih setengah juta ekor benih ikan telah dilepaskan di Sungai Perak.

Menurutnya, jumlah tersebut tidak termasuk di tempat lain seperti di Sungai Kampar, Sungai Kinta, Sungai Bernam, Sungai Kerian , Taman Tasik Taiping, Tasik Temengor, Tasik Kenering dan Tasik Raban yang melibatkan tidak kurang 100,000 benih ikan pada setiap kawasan.

“Jabatan Perikanan Negeri Perak akan memperhebatkan lagi program tersebut sepanjang tahun ini bagi memastikan keperluan sumber ikan yang dimakan penduduk di negeri ini terus mencukupi.

“Kajian pada tahun 2000, mendapati keperluan ikan makan bagi setiap individu setahun di negara ini hanya sebanyak 45 kilogram (kg) dan meningkat kepada 50 kg setahun pada tahun 2005.

“Dijangkakan menjelang tahun 2020 akan datang, penduduk akan memakan ikan sebanyak kira-kira 55 kg bagi setiap orang setahun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perlepasan Benih Ikan di Dataran Sungai Kerian di sini, hari ini.

Sebanyak 46,000 anak ikan spesies lampan dan terbul dilepaskan sempena dengan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan (HPPNK) di sini pada 12 hingga 16 Januari hadapan.

Menurutnya,  sumber utama ikan yang ditangkap di laut sudah mencapai tahap maksima menyebabkan Jabatan Perikanan terpaksa mencari pendekatan lain iaitu memperkaya dan memperkasakan sumber ikan di perairan sungai dan tasik.

Hadir sama Ketua Penolong Pegawai Daerah Kerian, Mat Dan Hassan; Ketua Pusat Pengembangan Akuakultur Tapah, Mohd Roshaizat  Mustapa; Ketua Pusat Ikan Hiasan, Enggor, Kuala Kangsar, Nor Mastura Hassan dan Urusetia pertandingan, Salehuddin Ismail.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata, sempena dengan HPPNK, Kerajaan Negeri dan Jabatan Perikanan Perak akan menganjurkan pertandingan memancing ‘Yeop Moh Kita Ngail” di Dataran Sungai Kerian bersebelahan dengan tapak sambutan pada Ahad, 15 Januari depan.

“Sebanyak RM10,000 hadiah keseluruhan disediakan pihak penganjur bagi peminat sukan memancing pada pertandingan itu nanti.

“Setiap penyertaan hanya dikenakan bayaran sebanyak RM30 bagi setiap joran dan mereka yang berminat boleh mendaftar dengan menelefon Jabatan Perikanan Perak 05-2554061 dan 05-2554062.

“Mereka juga boleh terus datang untuk mendaftar pada hari pertandingan awal pagi Ahad depan,” katanya. – Nooraini Mahamad.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");