Perak Hari Ini

Kaji Semula Gerai Buah dan Gerai Makan Di Tepi Jalan Raya – Menteri Pengangkutan

MENTERI  Pengangkutan yang juga Anggota Parlimen Lumut Datuk Seri Kong Cho Ha, merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa nahas jalan raya yang mengorbankan tujuh nyawa di Batu 6, Jalan Sitiawan-Lekir lewat malam tadi ketika sambutan ambang tahun baru 2012 diraikan di seluruh negara.

Menurutnya, berikutan kejadian kemalangan ngeri itu, beliau akan meminta Majlis Keselamatan Daerah bersama pihak berkuasa mengkaji semula kedudukan semua gerai makanan dan buah-buahan di sepanjang laluan tersebut.

“Gerai-gerai di situ dipercayai telah wujud lebih 15 tahun lalu iaitu sebelum jalan raya tersebut dinaik taraf lagi.

“Saya meminta perkara itu (kedudukan gerai) dikaji semula dan sekiranya perlu mungkin sudah sampai masanya ianya dipindahkan ke tempat yang lebih selamat sebelum lebih ramai lagi mangsa terkorban,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tempat kemalangan hari ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam yang juga Ketua Trafik Daerah Manjung, ASP Ismail Munajat.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam tadi, enam mangsa maut di tempat  kejadian manakala seorang lagi yang mengalami kecederaan parah dan kritikal, maut pada kira-kira 8 pagi tadi di Hospital Seri Manjung (HSM).

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, DSP Shaharudin Abdullah berkata, kejadian melibatkan dua buah kereta jenis Honda Stream dan Honda Civic serta sebuah lori treler.

Menurutnya, ketika kejadian kereta jenis Honda Stream yang dinaiki seramai 10 orang penumpang dalam perjalan pulang dari arah Sitiawan ke rumah mereka di Lekir.

“Ketika sampai ditempat kejadian, kereta Honda Stream yang dinaiki mangsa dipercayai cuba memotong dari arah kiri sebelum cuba memasuki semula aliran lalulintas.

“Bagaimanapun, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan dan terus memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori treler,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang mati ditempat kejadian dikenali Mohamad Kamil Samsuri, 15, dari No. 4, Lorong Indah, Batu 15 Lekir, Sitiawan; Ahmad Faizal Mohd Termizi, 15, Kampung Parit Haji Dollah, Lekir; Mohamad Shadan Mohd Arshad, 15, No. 4, Jalan Indah, Batu 15, Lekir; Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16, No. 106, Batu 14, Lekir.

Mohamad Hadi Sulaiman, 17, No. 4, Lorong Indah, Batu 15 Lekir, Sitiawan dan Badrul Isa Sulaiman, 19, No. 4, Lorong Indah, Batu 15 Lekir, Sitiawan. Pemandu kereta, Mohd Hisam Mat Zaki, 22, beralamat di Depan Pusat Sehenti Jeli, Sungai Mekong, Jeli, Kelantan bagaimanapun meninggal dunia kira-kira 8 pagi tadi di HSM.

Shaharudin  berkata, tiga lagi penumpang kereta berkenaan hanya kecederaan ringan manakala pemandu lori treler dikenali Abdul Rashid Abdul Aziz, 49, dari Ayer Itam, Pulau Pinang mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan masih berada di HSM. – Nooraini Mahamad.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");